Tiga tahun selepas Suzuki Ciaz diperkenalkan di India, sekarang sedan ini telah diberikan facelift. Pada model baru ini, penampilannya telah diubah, dan turut mendapat pilihan enjin hibrid ringkas petrol-elektrik.

Enjin Smart Hybrid 1.5 liter pada Ciaz facelift menggantikan unit petrol 1.4 liter K14 sebelum ini, dan menggunakan unit empat silinder K15 yang mampu menghasilkan kuasa 103 hp pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,400 rpm. Jumlah ini bersamaan dengan peningkatan masing-masing 13% kuasa dan 6% tork jika dibandingkan dengan enjin K14. Enjin itu kemudiannya dipadankan denan sistem Smart Hybrid Suzuki dengan bateri lithium ion kompak.

Sistem ini membolehkan fungsi start/stop enjin automatik, penjanaan semula kuasa brek dan torque boost sewaktu memecut dan membantu memberikan catatan penggunaan bahan api sekitar 21.56 km/l dengan kotak gear manual lima kelajuan. Turut ditawar adalah kotak gear automatik empat kelajuan. Walaupun terdapat enjin hibrid 1.5L ini, varian dengan enjin diesel 1.3L DDiS SmartHybrid 88 hp/200 Nm masih lagi dikekalkan.

Pada bahagian luar, muka hadapan kenderaan ini telah direka semula dengan lampu utama LED projector dan lampu siang LED, gril yang lebih lebar serta lampu kabus LED pada penjuru bampar dengan kemasan krom di kelilingnya. Di belakang juga menggunakan lampu jenis LED, dengan kemasan krom di beberapa bahagian dan ia diperlengkap dengan rim 16 inci dua tona.

Bahagian dalam turut melibatkan perubahan seperti kemasan kayu, paparan LCD berwarna 4.2 inci dan lampu pada panel instrumen yang boleh berubah warna. Untuk ciri keselamatan, Ciaz facelift kini dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dan EBD secara standard, manakala varian yang lebih tinggi didatangkan dengan stability control dan hill start assist.