Bagi pesalah trafik yang belum menjelaskan notis kompaun kesalahan tempat letak kenderaan bermeter dan lalu lintas, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan kadar khas kompaun serendah RM20 mulai 1 hingga 30 September ini.

Menurut Pengarah Jabatan Perancang Korporat DBKL Khairul Azmir Ahmad, kompaun khas RM20 diberikan bagi pengguna motosikal, RM30 bagi kereta, MPV, van, lori kecil, pikap, 4WD dan SUV manakala RM50 bagi kenderaan berat seperti lori besar, bas, kren, traktor dan treler, laporan Bernama.

“Inisiatif ini adalah peluang bagi pesalah trafik menyelesaikan notis kompaun yang diterima sebelum 1 September 2018 bagi mengelakkan kes mereka disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” ujarnya lagi.

Walau bagaimana pun, kadar khas itu tidak termasuk bagi kesalahan yang sudah disenarai hitam (status W) dan kes-kes mahkamah (tindakan undang-undang (U), sebutan mahkamah (M) dan waran tangkap (W), katanya.

Bayaran kadar khas itu boleh dibuat di beberapa lokasi antaranya kaunter bayaran dan kiosk DBKL, pejabat pos, aplikasi mudah alih DBKL Mobis dan portal dalam talian www.myeg.com atau e-bayar.