Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir mengesahkan kerajaan akan memberi keutamaan kepada pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) berbanding projek mega lain untuk kemudahan penduduk di Terengganu dan Kelantan, laporan Bernama.
Menurutnya, sebarang keputusan untuk melaksanakan projek lebuh raya sepanjang 147 kilometer dari Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan itu turut mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan.
“Kerajaan akan mengambil perhatian serius berkenaan isu ini, malah menghargai YB dari Terengganu dan Kelantan yang memperjuangkan isu LPT3 ini. Saya berharap kalau keadaan fiskal dan kewangan boleh diperbaiki dalam masa terdekat, isu ini akan diberi keutamaan, bukannya projek mega lain,” katanya ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Engku Naimah Engku Taib yang ingin mengetahui status LPT3 selain berharap kerajaan dapat meneruskan projek itu.
Mohd Anuar berkata, kementerian akan berbincang dan mendapatkan nasihat daripada kementerian dan agensi pusat lain seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara sebelum membuat sebarang keputusan lanjut mengenai projek itu.
Menurutnya, Kajian Kemungkinan Awalan projek LPT3 yang siap pada 2009 mendapati tiga daerah di Terengganu akan terbabit dalam projek berkenaan iaitu Kuala Terengganu, Setiu dan Besut manakala di Kelantan lima daerah iaitu Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas, Kota Bharu dan Tumpat
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.