Kia Malaysia kini telah mula memberi petunjuk kepada kehadiran model SUV Sorento facelift baru di media sosial. SUV berkenaan kini dari generasi ketiga (UM) telah menerima kemaskini untuk pasaran Korea Selatan Julai lalu.

Perubahan paling ketara untuk bahagian depan adalah pada lampu utamanya, yang kini menggunakan unit LED penuh dalam rekaan berbentuk bulat bagi model spesifikasi tertinggi. Kedudukan asal lampu siang (DRL) juga telah diubah ke bahagian bawah lampu utama.

Rekaan “diamond stud” pada gril Sorento sebelum facelift kini telah ditukar kepada rekaan bersisik yang kelihatan lebih berkilat, manakala lampu kabus pula mempunyai rekaan berpetak kecil. Memandangkan lampu kabus ini sekarang adalah LED, saiznya juga adalah lebih kecil.

Pada bahagian belakang, bentuk pencahayaan LED lampunya telah diubah dan dijadikan lebih berlekuk, manakala lampu brek pula kini adalah jalur LED menegak. Terdapat juga rekaan lampu dengan tiga jalur melintang bagi varian yang lebih bawah.

Profail bampar Sorento facelift ini telah diubah, dan muncung ekzosnya kini keluar sedikit dari bampar dengan bentuk petak berwarna krom (sebelum ini muncungnya turun ke bawah).

Antara pembaharuan pada bahagian dalaman pula adalah untuk meningkatkan lagi rasa mewah pada SUV ini. Rekaan roda stereng dengan fungsi pemanas adalah baru, dan unit sistem hiburannya adalah yang paling terkini daripada Hyundai/Kia, dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Tombol gear juga adalah baru. Bila agaknya model ini akan dilancarkan di Malaysia?

Kia Sorento facelift 2018 Korea Selatan