Proton telah melancarkan satu lagi pusat 3S terbaharunya, kali ini berlokasi di Puchong pula. Ia telah dirasmikan oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton dan turut disertai barisan pengurusan Proton yang lain. Pusat 3S baharu ini dikendalikan oleh Atiara Johan Sdn Bhd, ia adalah bagi menggantikan bilik pameran berstatus 1S yang sebelum ini beroperasi di Pandan Indah, Kuala Lumpur, dan digunakan untuk aktiviti jualan sahaja.

Bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan, syarikat berkenaan telah bersetuju untuk menaiktaraf perkhidmatan mereka kepada pusat 3S di lokasi baharu. Cawangan baharu ini telah dibina di kawasan tanah lot dan kos pembinaan dianggarkan bernilai RM3.5 juta, dengan kawasan seluas 1,700 meter persegi. Dengan pembukaan pusat 3S ini, Atiara Johan Sdn Bhd menganggarkan peningkatan jualan sebanyak 60% dan kemudahan servis akan menjadi aliran pendapatan baharu untuk cawangan tersebut.

Ia turut menyediakan 14 tempat penyelenggaraan dan 12 servis pengangkat, kemudahan WiFi secata percuma, ruang mengecas komputer riba, ruang menunggu untuk para pelanggan dan juga sudut permainan kanak-kanak.

Menurut Judith Yam, Pengarah Urusan Atiara Johan Sdn Bhd, “Kami telah mengambil peluang yang ada ini untuk menaik taraf dari pusat 1S kepada pusat 3S kerana kami tahu ini akan menyediakan masa hadapan yang lebih cerah kepada perniagaan kami untuk jangka masa panjang. Kami menyedari bahawa untuk berjalan seiring dengan hala tuju perniagaan baharu Proton, kami perlu menaik taraf cawangan untuk tampil lebih segar yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dalam meningkatkan tahap jualan dan pengalaman servis yang baik kepada pelanggan kami.

Sehingga 31 Ogos 2018, Proton telah mencapai sebanyak 92% daripada sasarannya untuk pelan cawangan yang diluluskan berstatus 3S dan 4S. Sasaran jenama ini adalah untuk mendapatkan sebanyak 109 cawangan menjelang Oktober tahun ini berjalan seperti yang dirancang kerana setakat ini sebanyak 100 cawangan telah mendapat kelulusan.

“Kami berasa gembira kerana penambahbaikan cawangan berjalan dengan lancar. Pusat cawangan 3S dan 4S adalah penting kerana ia berfungsi sebagai penghubung kepada pelanggan dan mengetahui bagaimana mereka melihat Proton. Malah jualan Proton yang meningkat sejak tiga bulan lalu dengan jualan pada bulan Ogos mencapai 18% lebih tinggi daripada bulan sebelumnya, mencapai jualan sebanyak 9,501 unit, yang merupakan jualan tertinggi untuk tempah 36 bulan lalu. Kami yakin momentum jualan ini akan terus meningkat bagi bulan-bulan seterusnya, lebih-lebih lagi dengan kedatangan SUV pertama kami, Proton X70,” ujar Dr Li Chunrong.