Kereta nasional ketiga akan siap pada tahun 2020?

Kereta nasional ketiga akan siap pada tahun 2020?

Ada beberapa perkembangan terbaru berkaitan projek kereta nasional ketiga, yang pertama kali disuarakan oleh Tun Mahathir sebelum ini. Seperti yang dikongsikan dengan satu sidang media pagi ini, paling utama ialah pengumuman lantikan Malaysian Industry-Government Group For High Technology (MIGHT), sebuah agensi kerajaan yang bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri, sebagai koordinator utama bagi projek berkenaan.

Hadir sama dalam sesi berkenaan ialah Menteri Pembangunan Usahawan, YB Mohd Redzuan Yusof dan juga CEO MIGHT, Datuk Dr Yusoff Sulaiman. Idea umumnya ialah, MIGHT akan berperanan sebagai koordinator, yang antara lain bagi menghubungkan atau menyelaraskan teraju kerjasama dari pelbagai pihak (termasuk agensi-agensi kerajaan sedia ada dan juga pihak swasta) untuk menjayakan misi ini, dan untuk itu, akan menyediakan satu platform atau kitaran sistem bagi tujuan berkenaan.

Kita tahu, sebelum ini ada agensi-agensi atau kementerian lain yang terlibat secara langsung di dalam sektor automotif negara. Sebagai contoh terdekat, Institut Automotif Malaysia (MAI) dan juga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Berkali-kali di dalam sesi berkenaan kedua-dua mereka menyatakan bahawa Malaysia mempunyai kekuatan, kepakaran serta sumber untuk bergerak ke arah membangunkan kereta nasional ketiga. Ini termasuk pemain-pemain industri penting dari sektor yang lain, yang boleh menyumbang kepakaran mereka untuk tujuan berkenaan.

Kereta nasional ketiga akan siap pada tahun 2020?

Antara yang disebut-sebut ialah SilTerra Malaysia Sdn Bhd, yang berpusat di Taman Teknologi Kulim, yang kini antara lain menghasilkan cip semikonduktor yang digunakan pada produk Apple. Selain itu, sebuah lagi syarikat yang turut disebut ialah Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) yang berpusat di Johor, yang berada di depan dalam penghasilan material komposit.

Tentulah tidak diragukan keupayaan sektor-sektor berasingan ini dalam lapangan masing-masing. Bahkan yang kita miliki ini boleh saja menjadi yang terbaik di dunia sebagai penyedia komponen-komponen untuk industri yang pelbagai. Dan, seperti yang dicadangkan oleh YB Redzuan, usaha projek kereta nasional ketiga ini dijangka akan membuka ruang untuk memperdayakan lagi penglibatan pembekal-pembekal tempatan di dalam industri berteknologi tinggi seperti itu. Ini sangat jelas dan boleh difahami, dan kita yakin dengan kemampuan Malaysia.

Tetapi, apa yang kita tahu tentang arah tuju kereta nasional ketiga ini? Kedua-dua wakil ini menjelaskan bahawa ia akan terarah kepada kenderaan dengan sistem tenaga diperbaharui. Dalam bahasa mudah, kita kenalinya sebegai kenderaan yang hadir dengan teknologi elektrifikasi. Boleh jadi hibrid, PHEV, atau boleh jadi juga kenderaan elektrik sepenuhnya.

Ini masih belum dinyatakan dengan jelas. Tentang platform kenderaan mana yang akan digunakan (ada dinyatakan bahawa ia akan menggunakan platform modular), enjin atau sistem janaan dari mana, teknologi bateri dan sebagainya, semua itu masih menunggu masa untuk ditetapkan dan kemudiannya diumumkan.

Kereta nasional ketiga akan siap pada tahun 2020?

Ada juga penjelasan bahawa kereta baru itu nanti akan dilengkapi dengan pelbagai ciri termaju. Sistem pemanduan semi-autonomous, atau autonomous sepenuhnya menjadi penanda aras. Semua ini, jika ingin dilaksanakan, memerlukan persediaan lanjut yang lebih kompleks; misalnya penyediaan kemudahan prasarana yang berkaitan dan juga kesediaan pasaran tempatan.

Isyarat daripada kereta kepada sistem lampu trafik, komunikasi antara kenderaan dengan kenderaan lain, sistem radar dan isyarat dari bangunan kepada kenderaa, sistem radar pada kereta untuk mengecam simbol pada papan tanda dan sebagainya. Semua ini ada disebutkan ketika taklimat berkenaan.

Cuma, yang menggusarkan ialah berkaitan tempoh waktu yang diperlukan untuk kereta ini mula “roll-out” dan berada di atas jalan (walaupun dalam jumlah yang kecil dan bukan model prototaip), sasaran yang disebutkan ialah pada tahun 2020. Ini bermakna, projek ini hanya mempunyai tempoh dua tahun untuk direalisasikan. Dua tahun sahaja masa diperlukan untuk membangunkan sebuah kereta baru dengan teknologi elektrifikasi maju? Biar betul?

Tetapi YB Redzuan dan MIGHT sangat optimis dengan tempoh itu. Kami tertanya-tanya bagaimana itu dapat dilakukan. Untuk menghasilkan sebuah kereta dari kosong bukanlah perkara main-main. Apa lagi ia memang disasarkan untuk dijual dalam pasaran, termasuk fokus utama ke pasaran eksport. Kereta dengan teknologi kompleks seperti yang dicanangkan ini rasanya memerlukan masa yang lebih daripada itu untuk dihasilkan.

Kereta nasional ketiga akan siap pada tahun 2020?

Walaupun kita mungkin mempunyai kepakaran dari banyak sektor industri berasingan yang diperlukan untuk membangunkan sebuah kereta dengan teknologi elektrifikasi, tetapi untuk menjadikannya berhasil dan berfungsi seperti yang sepatutnya memerlukan masa dan bukan dilakukan dengan tergesa-gesa.

Untuk menjalankan ujian menyeluruh kepenggunaan, kajian pasaran, menyediakan prasarana dan sebagainya. MIGHT juga ada menyebut tentang Cyberjaya yang akan dijadikan “lapangan ujian” untuk kereta ini, tetapi tidak dinyatakan dengan perincian selebihnya.

Tentang dana yang diperlukan untuk projek berkenaan, ia juga masih belum dinyatakan dengan jelas. Berapa kos diperlukan oleh projek ini masih belum diketahui (kajian tentang ini sudah dimulakan atau belum?). Bagaimanapun, dinyatakan sekali lagi bahawa ia akan menggunakan sepenuhnya pelaburan dari sektor swasta untuk menjayakan rancangan ini. Pelaburan yang bagaimana, juga belum diterangkan.

Sekadar untuk membayangkan kemungkinan-kemungkinan yang ada, berdasarkan tempoh waktu sesingkat dua tahun yang dinyatakan itu. Apakah pihak-pihak swasta itu nanti akan “melabur” dalam bentuk membekalkan komponen dan kepakaran yang perlu?

Kereta nasional ketiga akan siap pada tahun 2020?

Sekadar dijadikan contoh, misalkan Toyota, atau mana-mana saja syarikat automotif luar yang mempunyai kepakaran, ingin menawarkan platform kenderaannya untuk projek ini dengan nilai tertentu, adakah itu akan menjadikannya sebagai pihak berkepentingan (stake holder) di dalam projek berkenaan?

Jika ya, bagaimana kita ingin menggelarkan kereta ini sebagai kereta nasional sedangkan pihak-pihak yang berkepentingan di dalamnya terdiri daripada senarai panjang rakan-rakan kongsi dari luar negara? (Kerana ini cara paling cepat untuk capai sasaran berkenaan). Bukankah kritik yang sama ini dihalakan kepada Proton sehingga terlucutnya “status” syarikat kereta nasional sebaik saja hampir separuh kepentingannya diambil alih oleh Geely?

Pertanyaan-pertanyaan ini sangat menarik untuk diperhalusi dan sewajarnya mendapat penjelasan yang lebih terperinci. Mungkin sekarang bukan masanya untuk kita tahu lebih lanjut. Apa yang akan berlaku selepas ini? Kenalah tunggu pengumuman seterusnya daripada MIGHT.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required