Sime Darby Auto Performance (SDAP) pengimport kenderaan Porsche di Malaysia, sedang memperluaskan lagi jajahannya di bahagian selatan dengan mewujudkan Porsche Centre Johor Bahru yang sedang dalam pembinaan.

Dengan anggaran pelaburan sebanyak RM48 juta, Porsche Centre Johor Bahru ini dibina di atas kawasan seluas 74,052 kaki persegi, merupakan pusat terkini selepas melancarkan Porsche Centre Penang pada tahun lalu.

“SDAP telah menjadi pengimport kenderaan Porsche di Malaysia sejak 2010 dan telah melakukan pelaburan berterusan untuk jenama ini, termasuk menyediakan pelbagai fasiliti dan kakitangan terlatih. Kami mempunyai potensi yang sangat besar di pasaran selatan, dan dengan adanya Porsche Centre Johor Bahru ini, merupakan salah satu lagi kejayaan Porsche di Malaysia,” ujar Christopher Hunter, CEO SDAP.

Pusat 4S Porsche terbaharu ini akan dilengkapi dengan bilik pameran jualan, pusat servis, gudang alat ganti dan pusat mengetuk/mengecat badan kenderaan. Malahan SDAP telah menetapkan teknikal dan ekologi mengikut standard yang ditentukan oleh Porsche AG. Termasuk fasiliti yang dilengkapi dengan teknologi Porsche terkini, tenaga kerja profesional dan menggunakan alat, material dan kelengkapan Porsche tulen.

“Pengalaman pemilikan adalah sangat penting bagi kami, justeru perkhidmatan selepas jualan sangat dititikberatkan demi kemudahan dan kepuasan para pelanggan kami. Dengan fasiliti terkini yang serba lengkap ini, SDAP mensasarkan untuk memenuhi keperluan pada pelanggan di samping meningkatkan kecekapan bahagian perkhidmatan selepas jualan,” tambah Christopher.

Kerja-kerja pembinaan fasiliti dijangka tamat ada hujung 2018 dan operasi pusat 4S ini disasarkan bermula pada suku pertama 2020.