Kia Malaysia telah pun mengumumkan harga bagi Kia Grand Carnival facelift. Ditawarkan dengan dua varian – model rendah KX pada harga RM155,888 dan model tertinggi SX berharga RM184,888. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

Secara mekanikal, kedua-duanya menggunakan enjin 2.2 liter CRDI turbodiesel yang menjana kuasa sebanyak 200 PS dan tork 441 Nm. Bagaimanapun, transmisinya kini baharu dengan automatik lapan-kelajuan menggantikan unit enam-kelajuan yang lama.

Antara perbezaan antara dua varian ini ialah KX menggunakan gril Tiger Nose yang sama seperti sebelum ini, sementara SX hadir dengan gril biasa. Lampu utama jenis projektor halogen diberi rekaan baru, dengan DRL LED. Tidak lupa juga rekaan bampar baru – KX menerima lampu kabus halogen, sementara SX dengan lampu kabus LED “empat kiub”.

SX juga dilengkapi rim aloi 18-inci warna perak dan bukan lagi rim 19-inci krom bagi penawaran sebelumnya. Lampu belakang LED juga menerima penampilan baru, serta rekaan bampar baru dengan lampu kabus dan reflektor yang disekalikan.

Ruang dalaman pula hadir dengan ciri standard seperti tempat duduk balutan fabrik dengan larasan lambar dua-arah, cermin pandang belakang elektrokromik, tirai bagi barisan-kedua dan -ketiga, USB dan AUX, pintu gelangsar kuasa elektrik serta stereng dengan balutan kulit.

Bagi KX, ia turut dilengkapi dengan paparan sistem audio tujuh-inci dengan Bluetooth, Android Auto dan Apple CarPlay, kawalan udara tiga-zon, parkir brek elektronik (tiada lagi brek parkir kaki), Smart Tailgate dan pemanas stereng. Turut ditambah ialah slot pengecas pantas USB serta ruang simpanan barang yang luas di belakang konsol tengah.

Mod Active Eco baharu juga disediakan bagi kedua-dua varian. Dengan memilih mod ini, ia akan menyelaras enjin, transmisi dan sistem pendingin hawa untuk memberikan kecekapan minyak yang terbaik. Khas untuk SX ialah paparan infotainmen lapan-inci yang lebih canggih, kerusi depan dengan larasan lapan-cara dengan memori, pengecas tanpa wayar Qi untuk telefon yang serasi serta kemasan kulit.

Bagi ciri keselamatan, ia turut dilengkapi dengan kamera undur bagi kedua-dua varian, amaran titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang, kawalan bantuan mula mendaki, ESC dan tingkap kuasa elektrik dengan ciri anti-pinch.

GALERI: Kia Grand Carnival KX facelift 2019