Subaru telah mengeluarkan panggilan semula untuk peringkat global atas dua isu yang dikesan pada model-model mereka iaitu masalah pada spring injap enjin dan juga kluster paparan pelbagai-info. Pengedar Subaru di Malaysia iaitu Motor Image telah mengesahkan bahawa model-model pasaran tempatan turut terlibat dengan panggilan semula ini.

Bagi isu spring injap, model yang terlibat adalah kenderaan-kenderaan yang diproduksi bermula 16 Januari 2012 hingga 14 Mei 2013. Enjin-enjin yng terlibat adalah enjin boxer empat-silinder FA20 dan FB20 yang terdapat pada Subaru BRZ 2013, Subaru Legacy/Outback 2013-2014, Subaru Forester 2012-2014 dan Subaru Impreza/XV 2012-2014.

Menurut Subaru, spring injap pada enjin-enjin terlibat berkemungkinan boleh patah pada situasi beban tinggi, seterusnya menyebabkan enjin mati dan tidak boleh dihidupkan semula atau menghasilkan bunyi yang tidak normal. Pemilik-pemilik model yang terjejas perlu ke wakil Subaru masing-masing untuk menukar komponen berkenaan bagi mengelakkan ia berlaku.

Manakala untuk masalah paparan pelbagai-info pula, Subaru menyatakan bahawa isu pada program perisian mungkin boleh menyebabkan data yang tidak tepat dipaparkan berkenaan jumlah bahan api dan juga jarak perjalanan. Masalah ini melibatkan model Subaru Legacy/Outback tahun 2018 yang diproduksi sebelum 1 Ogos 2018.

Motor Image menjelaskan bahawa mereka akan berhubung dengan pelanggan-pelanggan yang terlibat di Malaysia, manakala segala kos pembaikan termasuk alat ganti dan kos buruh adalah percuma.