Mungkin anda sedang mencari SUV segmen-B untuk dimiliki, nah ini ada satu pilihan, dari jenama Perancis, Citroen C3 Aircross yang telah pun mula diprebiu di semua bilik pamerannya di negara ini.

Menarik dengan gaya funky, C3 Aircross ini didatangkan dengan lampu utama yang menjadi trademark model ini, lampu belakang dengan efek-3D, lapisan hitam yang menarik dan dekorasi berbentuk squircle. Malah turut didatangkan dengan pilihan dua-tona warna untuk luaran yang menyerlahkan lagi gaya funky model ini.

Di dalamnya, tema squircle masih menjadi pilihan, kelihatan pada corong udaram roda stereng dan kluster instrumen. Pada bahagian tengah papan pemukanya, terletak skrin sesentuh tujuh-inci, yang bersambung dengan sistem navigasi dan juga fungsi Apple CarPlay, Android Auto dan MirrorLink.

Kuasanya didatangkan dari enjin 1.2 PureTech pengecas turbo tiga-silinder, sama seperti Peugeot 208 dan 2008. Ia memberikan output 110 PS pada 5,500 rpm dan tork 205 Nm pada 1,500 rpm, disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam-kelajuan. Bagi pecutan dari sifar ke 100 km/j, hanya mengambil masa 10.4 saat, mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 200 km/j dan penggunaan bahan api sekitar 5.3 liter bagi setiap 100 km mengikut kitaran NEDC.

Kit standard termasuk lampu utama halogen, roda aloi dua-tona “4ever” 17-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, roda stereng pelbagai fungsi, tempat duduk fabrik, pendingin hawa automatik, kawalan kelajuan, cermin pandang belakang auto-kelam, pengesan parkir belakang dan kamera undur.

Bagi keselamatan, C3 Aircross didatangkan dengan enam beg udara, ABD dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX dan pengunci keselamatan belakang elektronik. Ia juga didatangkan dengan dua sistem bantuan pemandu – amaran ketibaan lorong dan kepekaan perhatian pemandu.