Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan sebanyak enam model telah terlibat dengan panggilan semula, yang secara keseluruhannya berjumlah 21,133 unit yang terjejas di seluruh negara. Model yang terjejas termasuklah Outlander, ASX, Lancer, Lancer Sportback dan Lancer Evolution.

Yang pertama adalah untuk pemeriksaan dan pembaikian brek parkir belakang, melibatkan Outlander (2016) dan ASX (2013, 2015, 2017). Pemeteraian yang tidak sempurna bagi brek parkir tersebut mungkin boleh menyebabkan air memasukinya dan mengakibatkan aci menjadi karat yang boleh mengikis kaliper dalaman dan mengurangkan daya brek parkir tersebut.

Penyebab kedua pula ialah penggantian wiper link ball joint hadapan bagi ASX (2011-2013). Pemasangan kalis air bahagian hadapan boleh menyebabkan ia dimasuki air menerusi bahagian belakang dek hadapan. Ia boleh menyebabkan komponen terbabit mengalami kelembapan berterusan dan terhakis.

Manakala penyebab ketiga adalah pemeriksaan bagi engine auto tensioner yang melibatkan ASX (2011-2012), Lancer (2008 – 2012) dan Lancer Sportback (2011-2012). Ia disebabkan auto tensioner, daya rintangan gelongsor akan meningkat dari masa ke masa. Ini boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian flange pada auto tensioner terbabit jika enjin digunakan dalam pemanduan kelajuan yang tinggi.

Penyebab keempat pula, pemprogramman semula perisian ASC ECU untuk Outlander (2017). Disebabkan perisian yang kurang sempurna bagi ESC ECU, bunyi bising elektrik akan dijana apabila pam motor diaktifkan. Ia juga boleh menyebabkan operasi IC terjejas, sekaligus mengakibatkan ECU harus ditetapkan semula. Unit hidraulik juga akan terganggu dan boleh menjejaskan kestabiliti pemanduan kenderaan.

Bagi penyebab kelima pula, penggantian kaca bumbung matahari pada Lancer Evo (2009). Bergantung pada suhu dan kelembapan, kekuatan pada bingkai luaran bagi kaca bumbung matahari itu boleh menjadi lemah disebabkan material yang digunakan. Jika tidak diganti, kaca bumbung matahari itu boleh terkeluar dari bingkai luarannya.

Dan yang terakhir tapi tetap sama pentingnya, penggantian bagi inflator beg udara penumpang bagi Lancer (2004-2007). Sekiranya kenderaan terdedah dengan kelembapan yang tinggi bagi tempoh waktu yang lama, PSAN (phased-stabilised ammonium nitrate) boleh merosot dan menyebabkan tekanan dalaman berlaku. Malah inflator tersebut boleh terkeluar sekiranya beg udara terbabit meletus, sekaligus mempu menyebabkan kecederaan mahu pun kematian.

Bagi semua panggilan semula di atas, MMM akan mengeluarkan surat maklumat untuk semua pemilik kenderaan yang terlibat, dan semua kos penggantian akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tersebut. Semua pelanggan yang terlibat diminta untuk membuat temujanji dengan mana-mana pusat servis Mitsubishi yang bertauliah.