Ke mana hala tuju dan apa yang boleh dijangkakan dari Proton – wawancara dengan CEO, Dr Li Chunrong

Ke mana hala tuju dan apa yang boleh dijangkakan dari Proton – wawancara dengan CEO, Dr Li Chunrong

Dalam tempoh setahun selepas mula menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong lebih berminat menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja untuk membawa Proton kembali kepada tahap kegemilangan seperti yang pernah dikecapi dahulu. Dan, seperti yang boleh dijangkakan, ia bukanlah satu tanggungjawab yang mudah.

Banyak aspek yang perlu diberikan perhatian, seperti yang ditetapkan dalam perancangan 10 tahun ke hadapan yang telah digariskan untuk meletakkan Proton kembali di depan. Antara yang dapat dilihat umum ketika ini tentulah dua perkara paling utama; pengenalan model SUV pertama Proton X70 yang akan dilakukan tidak lama lagi dan naik taraf lebih 100 buah cawangan kepada pusat 3S/4S tahun ini.

Namun, di sebalik tabir pengurusan operasi dan jenama Proton, banyak lagi perkara yang turut diubah. Dasar-dasar syarikat, amalan perniagaan yang dipraktik sejak dulu, jangkaan terhadap vendor dan pembekal dan banyak lagi, semuanya terpaksa dilakukan hanya untuk mencapai satu tujuan – meningkatkan kualiti keseluruhan barisan produk Proton dan meraih semula kepercayaan pelanggan terhadap Proton. Dan, memang inilah yang diperlukan oleh Proton ketika ini.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan perancangan serta usaha-usaha yang sedang dijalankan itu, kami berkesempatan untuk duduk bersama beliau untuk satu wawancara minggu lalu di Pusat Kecemerlangan Proton. Apa yang boleh dijangkakan daripada Proton untuk bergerak kehadapan? Kami ajukan terus soalan-soalan berkaitan kepada beliau.

Ke mana hala tuju dan apa yang boleh dijangkakan dari Proton – wawancara dengan CEO, Dr Li Chunrong

Model SUV Proton X70 akan dilancarkan tak lama lagi. Tempahan juga sudah mencecah 10,000 unit setakat ini. Ia satu perkembangan yang sangat baik untuk Proton. Apa yang menyumbang kepada sambutan sebegini?
Kami mula membuka pengambilan tempahan X70 pertama kali pada September tahun ini. Ketika itu, ia hanya melalui saluran di bilik pameran fizikal sahaja. Sebulan kemudian, pada Oktober lalu, kami mulakan pula pengambilan tempahan secara atas talian. Ini satu cara yang baru untuk kami, dan pertama kali dilakukan di Malaysia oleh mana-mana pengeluar. Tetapi, kaedah ini biasa dilakukan di China. Melihat kepada maklum balas yang diterima, kesedaran pelanggan kini lebih tinggi terhadap X70 dan Proton umumnya.

Adakah sebaik sahaja pelancaran nanti semua unit yang ditempah ini akan tersedia untuk diserahkan kepada pelanggan? Bagaimana Proton merancang untuk mengendalikan hal ini, memandangkan X70 itu nanti merupakan model CBU dari China.
Tidak, serahan akan dilakukan secara berperingkat. Sebaik dilancarkan, kami akan pastikan jumlah unit yang tersedia adalah memadai untuk mengekalkan momentum dalam pasaran, mengimbangi antara bekalan dan permintaan dengan baik serta memendekkan tempoh menunggu pelanggan. Mereka yang membuat tempahan awal tempoh hari akan diberi keutamaan. Maklum balas tempahan berkenaan memberikan kami kelebihan untuk merancang kadar pengeluaran model ini untuk pasaran tempatan.

Proton X70 kita ketahui adalah model berasal dari Geely Boyue. Bagaimana proses untuk mempersiap model berkenaan bagi pasaran Malaysia berjalan?
Dari satu sisi, X70 bukanlah merupakan model “rebadge” seperti yang ramai fahami. Paling utama ialah untuk mengalihkannya dari versi pemanduan sebelah kiri (LHD) kepada sebelah kanan (RHD). Proses ini tidak semudah mengalihkan kedudukan itu sahaja. Ia turut melibatkan peralihan lima sistem utama pada kenderaan, dengan 20 komponen yang perlu diubah suai. Dan, kira-kira 500 individu dari Proton di sini terlibat di dalam projek ini dan sedang bertugas di kilang Geely di China. Tempoh yang diperlukan untuk melakukan semua ini pula ialah satu setengah tahun. Kini, X70 sudah bersedia untuk memasuki pasaran tempatan.

Ke mana hala tuju dan apa yang boleh dijangkakan dari Proton – wawancara dengan CEO, Dr Li Chunrong

Proton sebelum ini memaklumkan bahawa unit pemasangan tempatan (CKD) bagi X70 akan diperkenalkan di sini nanti, menggantikan versi CBU yang dipasarkan terlebih dahulu selepas pelancaran. Apa perbezaan yang boleh dijangkakan berbanding model CBU? Adakah enjin 1.5 liter terbaru oleh Geely dan Volvo akan ditawarkan juga?
Ketika ini, masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk memastikan pengenalan X70 CBU berjalan lancar. Untuk itu, kami ingin memberi tumpuan terhadap perkara ini terlebih dahulu. Memang CKD sudah ada dalam perancangan, tetapi belum sampai masanya untuk kami mendedahkan apa-apa mengenai hal itu. Buat masa sekarang, X70 CBU menjadi keutamaan untuk dipasarkan.

Ada kemungkinan X70 tampil dalam versi tujuh-tempat duduk nanti?
Ia belum termasuk dalam perancangan sedia ada. Tetapi itu boleh dipertimbangkan kelak. Oleh kerana rekaan badan X70 agak besar, ia tidak mustahil untuk diperkenalkan di sini, jika ada permintaan dari pasaran.

Pendekatan bagi nama model Proton berbeza sama sekali bermula dengan X70 ini jika dibandingkan dengan nama-nama model sebelumnya seperti Saga, Persona, Iriz dan lain-lain. Adakah selepas ini pendekatan ini akan dikekalkan? Nama model-model sedia ada akan ditukar juga?
Bermula dengan X70, pendekatan nama-nama bagi model baru akan datang Proton akan mengikut pendekatan terbaru ini. Ia seperti menjadi penanda kepada peralihan produk Proton. Bagaimanapun, bagi model-model lama, nama sedia ada akan terus dikekalkan. Ini kerana orang ramai sudah kenal dengan nama-nama tersebut, dan kami tidak berhasrat untuk menukarnya.

Bagaimana dengan Proton Iriz facelift yang terbaru? Ia pernah dilihat sedang diuji. Adakah ia akan diperkenalkan dalam masa terdekat juga?
Seperti yang saya nyatakan tadi, tumpuan ketika ini adalah terhadap model X70. Proton menumpukan sepenuh perhatian terhadap segala aspek operasi dan kualiti model ini. Bagi Iriz dalam penampilannya yang terbaru, kami akan dedahkan bila sampai masa yang kami rasakan betul untuk berbuat demikian.

Ke mana hala tuju dan apa yang boleh dijangkakan dari Proton – wawancara dengan CEO, Dr Li Chunrong

Selepas setahun menggalas tanggungjawab selaku CEO Proton, apa cabaran utama yang anda hadapi? Sudah faham selok-belok pasaran di sini? Boleh kongsikan pemerhatian anda?
Cabaran paling kritikal yang perlu saya galas ialah jumlah jualan kenderaan Proton yang semakin merudum ketika saya mula menyertai syarikat ini. Itu satu keadaan yang amat sukar. Dengan pengalaman selama 30 tahun di dalam operasi industri automotif yang berbeza serta terlibat di dalam syarikat usaha sama (JV), saya cuba untuk menyusun semula langkah Proton.

Dari pemerhatian saya, pasaran di sini mempunyai permintaan yang berbeza. Dengan skala yang jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan China. Harga kenderaan di sini juga lebih tinggi berbanding China. Dan, jangka hayat sesebuah model juga lebih panjang di sini. Jadi, daripada input ini, Proton akan menyusun langkah ke depan.

Antara matlamat usaha sama Geely adalah untuk meletakkan kembali Proton sebagai pendahulu untuk pasaran tempatan. Bagaimana untuk mencapai perkara ini?
Sewaktu mula memikul tanggungjawab, Geely-Proton ada menggariskan rancangan 10 tahun yang ingin dicapai. Memang, buat masa ini, kami hanya mempunyai model SUV baru X70 sebagai model pertama dari usaha sama tersebut.

Menyedari SUV bukanlah sebuah segmen besar dan popular di Malaysia (misalnya berbanding sedan dan hatchback kompak), Proton akan mengisi setiap segmen berpotensi utama yang tidak terwakilkan sebelum ini. Untuk itu, antara langkah yang akan diambil ialah memperkenalkan satu model baru setiap tahun, dari segmen yang berbeza-beza. Ini tidak termasuk peningkatan terhadap model sedia ada. Dan sudah tentulah untuk meningkatkan jumlah jualan tahunan kenderaan Proton di sini.

Bagaimana pula dengan pasaran eksport?
Tahun 2017, kami mengeksport 248 unit kenderaan. Bagi 2018 pula, sekitar 1,700 unit akan mengikut jejak sama. Dengan sokongan kerajaan Malaysia, kami mensasarkan untuk mengeksport kira-kira 3,000 hingga 4,000 unit kenderaan pada tahun-tahun mendatang. Ini masih diusahakan.

Ke mana hala tuju dan apa yang boleh dijangkakan dari Proton – wawancara dengan CEO, Dr Li Chunrong

Satu faktor utama untuk mengembalikan kepercayaan pelanggan ialah peningkatan kualiti terhadap produk dan juga layanan pelanggan oleh Proton. Apa perkembangannya setakat ini?
Seperti ramai sedia maklum, Proton giat menaik taraf cawangan pengedarnya kepada pusat 3S/4S. Ini untuk kepuasan pelanggan, dan kami hampir mencapai sasaran jumlahnya untuk tahun ini. Kedua ialah kualiti produk itu sendiri. Sepanjang setahun saya bertugas di sini, pasukan audit dalaman Geely sudah tiga kali datang untuk membuat penilaian.

Dengan sistem demerit penilaian dalaman yang sama digunakan oleh Volvo, Proton yang merekodkan 6,680 mata pada Oktober 2017 kini telah berjaya mengurangkan angka itu kepada 1,574 mata setakat Oktober 2018 (lebih tinggi mata yang diperoleh situasinya lebih teruk). Dengan tempoh yang singkat, ini sesuatu yang ingin kami banggakan. Kami asalnya mensasarkan untuk mencapai takat 1,500 mata.

Bagaimana anda berdepan dengan tanggapan bahawa Proton kini sudah menjadi sebuah syarikat China, dan bukan lagi syarikat yang dekat dengan rakyat Malaysia?
Itu sama sekali tidak betul. Jika ada pun perubahan dalam konteks ini, Proton sebenarnya bukan sudah bertukar menjadi sebuah syarikat China, sebaliknya syarikat multinasional. Mengapa saya kata begitu? Memang betul Geely memiliki kepentingan dalam Proton. Tetapi dari segi operasi, ia bukanlah seperti yang disangkakan.

Saya beri contoh. Di kilang Tanjung Malim, kami mempunyai tiga jurutera Jepun yang mengetuai operasi di sana. Begitu juga dengan Ketua Pegawai Kewangan Proton kini merupakan warga Kanada. Jabatan reka bentuk dan penggayaan pula ada individu warga British dan Perancis yang turut telibat untuk memberikan input. Begitu juga dengan beberapa lagi individu dari Jerman dan India dengan kepakaran masing-masing yang turut sama menyumbang tenaga.

Matlamat kami hanya satu, untuk memulihkan keadaan Proton dan meletakkannya semula ke kedudukan yang dihormati seperti dahulu. Semua perkara yang dibincangkan ini – dan banyak lagi aspek lain tentunya – merupakan perubahan yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat itu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • ISHAK MUHAMMAD on Nov 08, 2018 at 9:53 pm

    InsyaAllah, usaha Proton akan berjaya. Mungkin inilah yang sepatutnya sudah lama di lakukan iaitu menyelenggara syarikat ini sebagai sebuah perniagaan dan bukan sebuah organisasi yang bergantung kepada bantuan semata-mata.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required