Proton X70 – tempahan dalam talian kini boleh dibuat di bilik pameran maya; hanya RM99 dari 17-19 Okt

Proton X70 – tempahan dalam talian kini boleh dibuat di bilik pameran maya; hanya RM99 dari 17-19 Okt

Bagi memudahkan pelanggan untuk melihat perincian berkenaan SUV pertamanya, Proton X70, jenama automotif nasional berkenaan telah melancarkan platform bilik pameran maya yang boleh diakses secara dalam talian di laman web korporat Proton. Bukan sahaja untuk mengetahui spesifikasi setiap model ini dengan lebih teliti, malah platform tersebut juga boleh digunakan untuk menempah Proton X70 anda, tanpa perlu ke mana-mana bilik pameran sebenar.

Bagi mempromosikan penggunaan platform baharu ini, pelanggan ditawarkan untuk membuat tempahan X70 mereka pada laman berkenaan dengan bayaran hanya RM99 (RM1,000 sekiranya anda menempah secara konvensional). Namun tawaran istimewa tersebut diberikan hanya dalam tempoh terhad, iaitu bermula pukul 10 pagi hari ini (17 Oktober) sehingga 19 Oktober 2018 ini.

Pelanggan yang ingin menempah X70 perlu untuk memberikan butiran peribadi mereka, model dan warna pilihan serta bandar dan negeri di mana mereka ingin mengambil kereta mereka.

Proton X70 – tempahan dalam talian kini boleh dibuat di bilik pameran maya; hanya RM99 dari 17-19 Okt

Selepas bayaran tempahan dilakukan, juga secara dalam talian, resit yang dihasilkan oleh sistem akan dihantar kepada e-mel pelanggan. Proton kemudian akan melantik penasihat jualan untuk menguruskan pesanan dengan menghubungi pelanggan dalam tempoh tujuh hari bagi memproses tempahan. Bagi tempahan yang dibuat di mana-mana cawangan PROTON, bayaran penuh akan dikembalikan sekiranya pelanggan mengubah fikiran mereka.

“Selepas mengkaji pilihan pengguna dan trend pasaran, Proton percaya bahawa inilah masa yang tepat untuk menawarkan kemudahan tempahan dalam talian kepada pelanggan. Platform ini membolehkan tempahan dibuat dari mana-mana sahaja mereka berada sekiranya terdapat sambungan Internet. Syarikat juga akan memberi ganjaran kepada mereka yang membuat tempahan sebelum pelancaran Proton X70. Ganjaran ini berupa hadiah istimewa untuk semua pelanggan awal tidak kira sama ada mereka menempah melalui dalam talian atau di cawangan kami,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

Namun, anda turut boleh melakukan “tempahan istimewa” secara dalam talian dengan bayaran RM1,000 dalam tempoh berkenaan (sehingga SUV ini dilancarkan kelak). Menerusi tempahan ini, anda bakal menerima hadiah-hadiah istimewa ketika kereta berkenaan diserahkan nanti, antaranya model die-cast Proton X70 dalam skala 1:18. Anda yang menempah awal dengan kaedah konvensional di bilik pameran turut layak menerima hadiah-hadiah berkenaan.

Buat masa sekarang, prebiu X70 masih lagi berjalan dan orang ramai di Kuching boleh melihat sendiri SUV berkenaan pada 15 hingga 16 Oktober ini. Selepas itu ia akan bergerak ke Kuantan dan Ipoh sebelum hentian terakhirnya di Kota Kinabalu bulan hadapan.

Nak tahu lebih lanjut berkenaan SUV pertama Proton yang dihasilkan dari Geely Boyue ini? Baca artikel yang telah kami sediakan berkenaan empat varian dan spesfikasi yang ditawarkan, unit janakuasa, sistem bantuan pemanduan, teknologi hubungan dan juga sistem infotainmen GKUI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required