Di dalam sesi kedua taklimat kepada media berkaitan model SUV X70, Proton telah mendedahkan lebih banyak perincian. Jika sesi pertama dahulu melibatkan penerangan tentang rekaan, pemilihan nama dan hal-hal luaran yang lain, sesi kedua ini memberi tumpuan kepada hal-hal dalaman yang tidak kelihatan pula – misalnya angka-angka prestasi.

Seperti yang ramai sedia maklum, Proton X70 ini akan menggunakan enjin 1.8L TGDi (Turbo Gasoline Direct Injection). Unit ini mampu menghasilkan sebanyak 135 kW (181 hp) pada 5,500 rpm kuasa manakala tork pula sebanyak 285 Nm dari 1,700 rpm hingga 4,400 rpm. Pecutan dari 0-100 km/j pula boleh dicapai dalam masa 10.5 saat.

Terdapat dua sistem pacuan yang adakan ditawarkan; 2WD (tiga varian) dan AWD (satu varian). Penggunaan minyak bagi model 2WD disifatkan mampu memberikan 7.8 liter bagi setiap 100 km, manakala penggunaan minyak bagi model AWD masih beluh dimaklumkan.

Berat bagi model 2WD ialah 1.7 tan. Manakala bagi model AWD pula, ia melibatkan pertambahan 100 kg berat disebabkan gandar (axle) belakang yang melengkapinya. Hal ini juga sudah tentun akan mempengaruhi bacaan kadar penggunaan minyaknya. Sistem AWD berkenaan akan mengagihkan saluran kuasa antara 100:0 atau 70:30 dari roda depan ke roda belakang. Unit berkenaan dibangunkan oleh Borg Warner.

Dari segi struktur kerangka dan casis, X70 menampilkan ciri yang lebih kukuh; sub-frame bahagian depan terutamanya menerima peningkatan dari sudut kekerasan yang lebih tinggi untuk melindungi bahagian ruang kabin.

Aspek kendalian atau “ride & handling” SUV ini pula ditala oleh MIRA UK. Antara lain, kelebihan yang dapat dicapai ialah kadar kebisingan dalam kabin (NVH) yang lebih rendah serta penggunaan suspensi belakang dari jenis multi-link untuk memberi lebih keselesaan kepada penumpang.

Turut tersedia ialah tiga pilihan mod memandu – Normal, Eco dan Sport. Ketiga-tiga mod ini juga akan melibatkan perubahan warna pada bahagian meter; warna putih bagi mod Normal, beralih ke Eco dalam warna hijau dan terakhir mod Sport dalam warna merah untuk memudahkan pemandu serta mewujudkan kelainan rasa pemanduan bagi setiap mod yang ada.

Selain itu, Proton X70 ini juga akan dibuka tempahan secara online bermula 17 Oktober nanti. Ikuti juga penawaran dan pecahan setiap varian yang ada serta perinciannya, serta teknologi perhubungan (connectivity) maju yang turut melengkapi model ini.