Walaupun masih belum dilancarkan secara rasmi, SUV pertama Proton iaitu X70 dilihat menerima sambutan baik apabila jumlah tempahan diumumkan sudah mencecah angka 10,000 unit. Ini berikutan pembukaan tempahan bermula 8 September lalu di semua wakil pengedar jenama itu dan juga melalui atas talian dari 17 Oktober lalu.

Daripada 10,000 unit tempahan itu, 2,000 daripadanya dibuat melalui laman web mikro X70, yang memerlukan pelanggan membayar cuma RM99, manakala selebihnya adalah daripada pusat pameran, di mana pelanggan perlu membayar deposit RM1,000.

“Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia di atas sokongan yang diberikan kepada PROTON terutamanya apabila kami mula menerima tempahan untuk Proton X70. Meskipun kami perlu mengawal perkongsian maklumat sebelum pelancaran model tersebut, maklum balas yang diterima sangat menggalakkan kerana kami telah menerima lebih 10,000 tempahan termasuklah mereka yang menempah melalui dalam talian di mana ianya melebihi jangkaan kami,” kata ketua pegawai eksekutif Proton, Li Chunrong.

Beliau turut menambah bahawa kejayaan membuat tempahan secara atas talian ini juga memberi petunjuk kepada cara penjualan pada masa hadapan, dan meminta pelanggan bersabar kerana persiapan akhir sedang dilakukan untuk pelancaran X70, termasuk memastikan rangkaian jualan dan servis selepas jualan yang lebih baik.

Berkenaan rangkaian sokongan ini, Proton menyatakan bahawa syarikat sudah berjaya mencapai lebih daripada jumlah sasaran yang ditetapkan iaitu 109 cawangan bagi pusat 3S dan 4S. Setakat ini, sebanyak 113 kelulusan permohonan cawangan telah direkodkan, mencatatkan pencapaian sebanyak 104% berbanding sasaran yang ditetapkan.

“Kami sangat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia bermakna pasaran telah menerima baik jenama PROTON dengan menganggap ia sebagai pelaburan yang baik. Saya memuji usaha para pengedar sedia ada yang mengambil peluang untuk terus melabur dengan kami serta pengedar baharu untuk kepercayaan dan visi mereka yang melihat potensi Proton dalam pasaran automotif ketika ini dan pada masa hadapan,” tambah Li Chunrong.

Proton X70 ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD. Semuanya dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol turbo TGDi 1.8 liter yang mempunyai kuasa 181 hp dan tork 285 Nm dari 1,700 hingga 4,400 rpm, bersama padanan kotak gear automatik enam kelajuan dengan mod manual. Seperti yang boleh dilihat pada nama varian itu, sistem pacuan roda hadapan dan semua roda ada disediakan.

Antara kelengkapan bagi varian paling tinggi adalah termasuk rim 18 inci, lampu utama LED, tempat duduk balutan kulit Nappa, tempat duduk larasan kuasa, bumbung panoramik, skrin sesentuh 8.0 inci dan sistem infotainmen GKUI. Semua varian akan dilengkapi dengan Electronic Stability Control (ESC) dan enam beg udara secara standard, tetapi varian Premium 2WD akan mendapat tambahan Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Information System (BLIS) dan kawalan lampu tinggi pintar.

Harga untuk semua varian Proton X70 ini hanya akan didedahkan apabila ia dilancarkan secara rasmi pada bulan November nanti. Tapi bagi anda, rasanya berapa harga yang patut diletakkan untuk X70 ini. Adakah anda juga antara yang telah meletakkan tempahan awal?


GALERI: Pilihan warna luar Proton X70