Selain Pulau Pinang, masalah kesesakan lalu lintas turut terjadi di Cameron Highlands khususnya ketika musim cuti termasuk hujung minggu.

Justeru, bagi mengurangkan masalah ini, Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji untuk membangunkan jalan pintasan Cameron Highlands sebagai laluan alternatif, laporan Bernama.

Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, cadangan jalan pintasan Cameron Highlands bagaimanapun perlu diteliti terlebih dahulu melalui kajian kebolehupayaan (feasibility study).

“Kajian ‘feasibility’ perlu dilaksanakan terlebih dahulu dengan mengenal pasti beberapa daya maju projek dan setelah kajian ini selesai kerajaan perlu memperuntukkan sumber kewangan untuk menampung kos projek ini. Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan projek naik taraf dan melebarkan jalan persekutuan FT 59 Jalan Ringlet ke Blue Valley.

“Kementerian Kerja Raya akan bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk mengenal pasti peruntukan kewangan diperlukan supaya projek ini dijalankan sebelum 2020,” katanya menjawab soalan Datuk Sivarraajh Chandran (BN-Cameron Highlands) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.