Mengenai subsidi RON 95 yang bakal diberikan kepada golongan yang selayaknya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan masih mengkaji dan memperhalusi sistem subsidi petrol dengan mekanisme terperinci mengenai pelaksanaan subsidi bersasar.

Ia senada dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan sejawatnya, menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang baru-baru ini mendedahkan bahawa Kementerian Kewangan akan bertanggungjawab melaksanakan proses itu dalam tempoh terdekat ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN UMNO-Jempol) yang menimbulkan kegusaran mekanisme pelaksanaan subsidi petrol, Guan Eng berkata, syarikat stesen minyak di seluruh negara akan diberikan kelengkapan teknologi berkaitan, laporan Berita Harian.

Katanya, teknologi yang diperlukan untuk menyemak butiran dalam kad minyak bagi memastikan subsidi dinikmati golongan sasar tidak rumit sehingga memerlukan pengkhususan canggih seperti diuar-uarkan segelintir pihak.

“Segala keprihatinan akan disampaikan kepada KPDNHEP supaya tidak timbul masalah pelaksanaan subsidi ini, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Selain itu, menurut Lim lagi, subsidi berkenaan juga tetap diberi kepada penerima yang layak namun tidak mempunyai kenderaan berikutan kekangan kewangan. Beliau mengakui segelintir penerima subsidi berteraskan mekanisme penyaluran menggunakan kad minyak itu tidak mempunyai kenderaan, namun memerlukan petrol dan diesel untuk tujuan lain.

Katanya, majoriti penerima dalam kalangan penduduk di kawasan luar bandar itu lazimnya mempunyai penjana kuasa yang beroperasi menggunakan petrol dan diesel.

“Kumpulan (penerima) yang tiada kenderaan, tapi perlu guna diesel untuk generator (jana kuasa) akan diberikan kerana ini subsidi bahan api secara bersasar. Oleh itu, penumpuan ialah terhadap golongan yang memerlukan bantuan, bukan orang kaya,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN UMNO-Baling) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.