Ini ada sebuah lagi model baru yang buat penampilan sulung di KLIMS 2018, Lexus UX. Model crossover kompak ini – dengan pemanduan sebelah kiri – dipertontonkan untuk umum, merupakan sebuah kenderaan SUV paling kecil dari Lexus ketika ini.

Ditampilkan dalam varian UX 200, ini adalah lawan kepada model-model seperti BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA. Rekaan serta warna yang ditunjukkan ini juga boleh tahan menarik. Gril yang sinonim dengan jenama Lexus jelas kelihatan di depan.

Lampu utama dan DRL LED yang ‘tajam’ serta bahagian fender yang lebih ketara dengan garis bumbung rendah menjadik antara keunikan tersendiri model ini. Di belakang, lampu LED yang melintang sepanjang kelebaran kereta ini juga berikan sentuhan berbeza kepada imej rekaan UX.

Ruang dalaman berkongsi rekaan yang mirip dari model-model terkini lainnya, seperti LS dan ES. Papan pemuka yang kemas dan luas, paparan tengah bersaiz 10.25-inci serta kawalan melalui kaedah Remote Touch menjadi unsur utama. Antara kemasan diilhamkan dari budaya Jepun yang ada padanya ialah lipatan kulit sashiko dan kertas washi.

UX ini 4,496 mm panjang dengan jarak antara roda 2,639 mm; menjadikannya 144 mm lebih pendek dari NX, walaupun beza jarak antara rodanya cuma 21 mm. Ia menggunakan platform Global Architecture – Compact (GA-C) oleh Lexus, sama seperti platform New Global Architecture (TNGA) oleh Toyota.

Model yang dilihat ini menggunakan enjin 2.0 liter Dynamic Force empat-silinder petrol, menghasilkan 169 hp dan 205 Nm yang digandingkan dengan transmisi automatik 10-kelajuan Direct Shift. UX turut dilengkapi dengan barisan ciri keselamatan seperti Lexus Safety System+; ini termasuk Pre-Collision System autonomous emergency braking, Dynamic Radar Cruise Control with Lane Tracing Assist (LTA), Adaptive High Beam System (AHS), Road Sign Assist (RSA) dan Parking Support Brake System.

Apa pandangan anda tentang model ini, menarik?