Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan pemandu berhemah di negara ini bakal menerima ganjaran yang berupa rebat petrol dan tol mulai tahun hadapan.

Beliau berkata, cadangan itu telah dikemukakan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) semalam dalam lawatannya ke Kuala Lumpur International Motor Show 2018 yang telah membuka tirainya. Menurutnya, cadangan ini dianggap amat baik, malah kementeriannya komited untuk mempertimbangkannya dalam usaha melahirkan pemandu berkhemah, sekali gus menangani isu keselamatan dan kemalangan di jalan raya, laporan Berita Harian.

“Kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya. Saya percaya pendekatan ‘carrot and stick’ (ganjaran dan hukuman) paling berkesan dalam mendidik seseorang menjadi pemandu berhemah. Kita perlu memberi ganjaran untuk memotivasikan pemandu bagi mengubah tingkah laku mereka kepada berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya. Pada masa sama, jika mereka enggan berubah, kita akan kenakan hukuman,” katanya.

Berhubung perkata tersebut, beliau berkata difahamkan Petronas sedang membangunkan aplikasi yang boleh menguji tingkah laku seseorang pemandu.

“Apabila aplikasi berkenaan dihidupkan ia akan menilai sama ada anda pemandu yang baik atau sebaliknya. Jika mencapai skor tertentu dalam tempoh sebulan misalnya, maka anda layak mendapat rebat petrol dan bayaran tol. Inilah dikatakan sebagai ‘carrot’, supaya pemandu berhemah di jalan raya dan saya yakin ia amat digemari rakyat Malaysia,” katanya.