Satu lagi jenama motosikal baru iaitu WMoto tiba dalam pasaran Malaysia, dan model pertamanya bernama Cub Classic dilancarkan dengan harga pasaran RM4,588 tidak termasuk insurans. Ini adalah sebuah kapcai bergaya klasik namun dipasang dengan kelengkapan moden.

WMoto Cub Classic dikuasakan oleh enjin empat strok satu silinder SOHC penyejukan udara 109.2 cc yang dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 6.4 hp pada 7,500 rpm dan 8.0 Nm tork pada 5,000 rpm. Enjin ini masih menggunakan karburetor untuk sistem penyampaian bahan api tetapi melepasi tahap Euro 3.

Walaupun mempunyai gaya klasik, motosikal ini diperlengkap dengan barangan moden seperti LED untuk semua lampu, soket USB untuk mengecas peranti elektronik, panel meter dengan lampu berwarna, fork USD di hadapan, dua penyerap hentak di belakang dan pemula enjin elektronik (penendang kaki juga disediakan).

Selain daripada itu, ia juga disiapkan dengan beberapa ciri lain yang boleh memudahkan pengguna seperti tapak meletak barang di atas penghadang lumpur depan, penyangkut dan tempat meletak barangan kecil di bawah bahagian pemegang dan satu yang istimewa, tempat duduk belakangnya boleh ditanggalkan dengan mudah dan digunakan sebagai tempat meletak barang (ada tapak khas di bawahnya).

Perincian lain tentang motosikal ini adalah termasuk brek dram depan dan belakang, rim 17 inci, tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, berat 100 kg, tangki bahan api 4.0 liter (bawah tempat duduk utama) dan rantai yang tertutup sepenuhnya.

Jenama WMoto ini dibawakan ke Malaysia oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd, yang juga adalah pengedar rasmi untuk beberapa jenama motosikal lain termasuk Benelli dan SYM. Untuk WMoto Cub Classic ini ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu merah, hijau dan hitam (kesemuanya matte), dan didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.