Mana-mana kenderaan dari Singapura yang masih tidak menjelaskan saman tertunggak haruslah tidak dibenarkan keluar dari Malaysia, ia merupakan cadangan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Rabiah Ali, ahli Dewan Negara, ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11, semalam.

Katanya, langkah itu bertujuan mengekang kegiatan menjadikan lebuh raya dalam negara sebagai tempat ‘menguji’ kelajuan kenderaan mereka, menurut Bernama.

“Masalah lumba haram dan memandu kereta secara melulu oleh pemandu kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi dari Singapura menjadi satu ancaman yang sukar untuk kita selesaikan. Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dari Johor Bahru ke Melaka menjadi litar ujian kenderaan mewah mereka hampir setiap minggu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, saman kompaun trafik ke atas kenderaan asing perlu dinaikkan ke satu jumlah yang maksimum dan kenderaan ini seharusnya dilarang meninggalkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) selagi saman tidak dijelaskan