Anih Berhad selaku pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) telah mengumumkan diskaun tol sebanyak 10% sempena cuti perayaan Hari Krismas untuk semua jenis kenderaan.

Diskaun tol itu berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada Selasa, 25 Dis ini.

Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pemberian diskaun itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat sejak tahun 2011 bagi pengguna lebuh raya berkenaan.

Dalam masa yang sama, Anih turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna yang bercadang untuk ke negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Ia disediakan bagi mengurangkan kesesakan di lebuhraya berkenaan termasuk di plaza-plaza tol yang terlibat.

Pengguna lebuhraya juga dinasihati agar memastikan baki nilai pada kad Touch ‘n Go dan eWallet RFID mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Anih turut memaklumkan perkhidmatan tambah nilai di lorong tol akan ditutup sekiranya trafik padat bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol dan pengguna boleh membuat pembelian kad atau tambah nilai di pusat khidmat pelanggan di plaza tol terbabit. Plaza tol terbabit ialah Gombak, Karak, Temerloh, Bentong dan Kuantan yang dibuka dari jam 7 pagi hingga 10 malam pada setiap hari atau di kios layan diri di hentian sebelah Gombak (arah barat), R&R Genting Sempah, Temerloh (arah timur dan barat) dan Gambang.