Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, memaklumkan bahawa kerajaan membelanjakan sebanyak RM4.89 bilion untuk pemberian subsidi petrol dan diesel bagi bulan Januari hingga November tahun lalu. Walau bagaimana pun, angka untuk bulan Disember masih dalam proses pengumpulan.

Menurut laporan yang disiarkan Kosmo, Guan Eng berkata, ini turut membuktikan bahawa kerajaan tidak mengambil keuntungan daripada harga runcit produk petroleum selain tidak mengenakan cukai jualan terhadap RON95 atau diesel.

“Kerajaan memberi subsidi petrol dan diesel pada bulan November lalu walaupun kosnya lebih rendah berbanding bulan-bulan terdahulu. Ia melibatkan kos sebanyak RM4.1 juta untuk subsidi petrol RON95 dan RM209.1 juta bagi diesel sepanjang November lepas,” ujarnya yang turut menegaskan bahawa kerajaan telah mengenakan cukai jualan adalah palsu dan tidak berasas seperti yang didakwa pihak tertentu.

Selain itu, sekali lagi beliau mengulangi kenyataan bahawa kerajaan akan melaksanakan mekanisme pengapungan pada bulan ini di mana harga runcit petrol akan menurun secara mingguan jika Mekanisme Harga Automatik (APM) terus menurun.

“Jika harga APM meningkat, harga runcit akan distabilkan kepada kadar semasa iaitu RM2.20 per liter bagi RON95 dan RM2.18 per liter bagi diesel. Sekiranya apabila harga-harga APM terus menurun, kerajaan akan mengurangkan harga tersebut supaya rakyat di negara ini mendapat manfaat daripada harga minyak yang rendah,” katanya.

Mekanisme sistem penentuan harga runcit petrol dan diesel dijangka diumumkan pada hari ini.