Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan arahan baharu dengan menyatakan bahawa pemandu kenderaan e-hailing atau Grab dilarang mencari atau menunggu penumpang di mana-mana lokasi termasuklah di lapangan terbang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, perkara itu termaktub di bawah syarat-syarat lesen pengendalian e-hailing yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, laporan Bernama.

Di mana pemandu e-hailing dikehendaki mematuhi salah satu daripada syarat perkhidmatan tersebut iaitu pemandu hendaklah mengambil penumpang yang dilanggan melalui perkhidmatan atas talian mudah alih atau aplikasi yang disediakan oleh syarikat pengendali.

Arahan tersebut turut menyebut, mana-mana pemandu perkhidmatan e-hailing yang gagal mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah peruntukan tersebut.

Menurut JPJ, kenyataan itu dikeluarkan berhubung dakwaan pemandu Grab disaman JPJ di bawah kesalahan menggunakan Lesen Kenderaan Moto (LKM) kerana mengambil pelanggan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada Selasa lalu.