Statistik Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) 2018 menunjukkan lebih 60 peratus daripada 6,742 kes kemalangan maut lalu lintas melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Justeru, JKJR kini mengkaji cadangan untuk menghadkan lorong kiri jalan raya khusus untuk pengguna motosikal terutama kapcai sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan maut bagi pengguna kenderaan itu.

Ketua Pengarah JKJR Datuk Rosli Isa berkata pihaknya kini sedang melihat keberkesanan pelaksanaan langkah itu di negara-negara maju seperti Hong Kong dan Australia. Menurutnya lagi, penggunaan lorong kiri untuk motosikal berkuasa kecil 150 cc dan ke bawah telah lama dipraktikkan di negara-negara tersebut.

Walau bagaimana pun, buat masa ini, Kementerian Pengangkutan belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai perkara tersebut.

Menurut menterinya Anthony Loke, mengambil maklum akan cadangan itu, namun ia perlu dikaji, laporan Bernama.

“Jika kita nak kurangkan kadar kemalangan maut sudah semestinya kita kena kurangkan kadar kemalangan motosikal… jadi apa apa cadangan kita terbuka untuk melihatnya. Kita tidak boleh meletakkan satu tempoh muktamad untuk ia dilaksanakan, daripada segi undang-undang kita boleh sahaja bersetuju dengan cadangan itu namun yang paling penting bagaimana cara kita boleh menguatkuasakannya,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata pihaknya juga mengambil maklum akan aspek penguatkuasaan lemah yang mendorong kepada peningkatan statistik kemalangan lalu lintas, justeru langkah penguatkuasaan serta peraturan sedia ada akan diperketatkan lagi.