KTNS Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model baru CFMoto 250 NK untuk pasaran Malaysia, sebagai tambahan kepada pelbagai lagi model yang berada dalam pasaran sekarang. CFMoto adalah satu jenama dari Hangzhou, China yang sudah wujud dari tahun 1989, dan kini mempunyai rangkaian pengedar di Asia, Eropah, Amerika Syarikat, Afrika dan beberapa negara lain.

CFMoto 250 NK adalah sebuah motosikal naked yang rekaannya dihasilkan bersama Kiska Design, dan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Electro Silvering dan Nebula Black. Kesemua lampu pada motosikal ini termasuk lampu hadapan, lampu belakang dan lampu penunjuk arah adalah unit LED.

Ada dua versi yang ditawarkan melalui 250Nk ini iaitu Standard dan SE, dengan kedua-duanya dikuasakan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api empat strok dengan sistem penyejukan cecair dan DOHC, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 26 hp pada 9,000 rpm dan 22 Nm tork pada 7,500 rpm.

Beza antara kedua-dua versi ini adalah pada bahagian meter dan juga brek, di mana versi SE menggunakan meter TFT warna penuh yang tahap keterangannya boleh berubah secara automatik mengikut cahaya sekeliling dan boleh dipilih dengan dua mod paparan iaitu Rain Mode dan Sport Mode, dan pada bahagian brek, versi SE didatangkan dengan sistem ABS.

Kelengkapan lain yang ada pada motosikal ini adalah termasuk fork USD di hadapan, monoshock di belakang, brek cakera depan dan belakang, rim 17 inci (lebar 3.5 inci dengan tayar 110/70 di depan dan 4.0 inci dengan tayar 140/60 di belakang), tangki bahan api 12.5 liter, berat 151 kg dan tinggi tempat duduk 795 mm.

Harga jualan CFMoto 250 NK di Malaysia adalah RM12,800 untuk versi Standard dan RM13,800 untuk versi SE, dan ia didatangkan sekali dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km. Untuk bahagian enjin, jaminan diberikan selama dua tahun tidak akan mengambil kira sebarang jarak perbatuan.

GALERI: CFMoto 250 NK SE

GALERI: CFMoto 250 NK Standard