Pada tahun 2017, Melaka telah memulakan peralihan penggunaan lampu jalan dari lampu jenis high-pressure sodium vapour (HPS) kepada jenis light-emitting diode (LED). Peralihan berkenaan, yang dilakukan secara berperingkat, adalah sebagai langkah penjimatan penggunaan elektrik oleh kerajaan negeri, selain meningkatkan faktor keselamatan.

Manakala pada tahun lalu pula, kerajaan negeri Pulau Pinang bercadang mahu mengikut langkah yang sama, dan pelaksanaannya dijangka pada tahun 2020.

Baru-baru ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merancang menggunakan sistem lampu diod pemancar cahaya (LED) di semua jalan persekutuan dan negeri di seluruh negara.

Menurut menterinya, Zuraida Kamaruddin, rancangan itu dijangka dilaksanakan secepat mungkin, bagi mengatasi masalah kawasan gelap, sekali gus menjamin keselamatan rakyat, laporan Berita Harian.

Walau bagaimana pun, katanya, tiada peruntukan khas diperlukan bagi melaksanakan projek itu kerana ia menggunakan `modul perniagaan’ dan ia akan dijalankan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Beberapa Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah membangkitkan isu itu dalam mesyuarat kami baru-baru ini di bawah isu perumahan. Selain itu, kementerian juga dalam proses menyerahkan pengendalian semua jalan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada PBT,” katanya.