Dua model motosikal dari Thailand iaitu GPX Racing Gentleman 200 dan GPX Racing Demon 150 GR kini sudah dijual di Malaysia dengan harga RM10,978 untuk Gentleman 200 yang bergaya retro dan RM9,800 untuk Demon 150 GR yang bergaya sports (tidak termasuk insurans).

Kuasa untuk Gentleman 200 datang daripada enjin empat strok satu silinder 197 cc dengan kotak gear enam kelajuan, dan ia mampu menghasilkan kuasa 20 hp, tork 18 Nm dan laju maksimum 135 km/j. Bagi membantu pemilik menikmati kuasa ini, ia didatangkan dengan tayar Pirelli bersaiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang manakala berat pula cuma 160 kg.

Kelengkapan lain yand ada pada motosikal ini adalah termasuk tangki bahan api 12 liter, sistem bahan api karburetor, fork USD tanpa larasan di hadapan, monoshock YSS di belakang, brek cakera berkembar di hadapan, tinggi tempat duduk 730 mm, panel instrumen LCD berwarna serta rim 17 inci jenis spoked.

Demon 150 GR pula dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok 149 cc dan ia mempunyai gaya seakan sebuah superbike Ducati Panigale. Model ini juga didatangkan dengan fork jenis USD di hadapan manakala di belakang ia menggunakan monoshock daripada YSS.

Berat Demon 150 GR cuma 133 kg, dan ia menyediakan tinggi tempat duduk 780 mm, tangki bahan api lapan liter, rim 14 inci, tayar 120/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, panel paparan LCD monochrome, lampu siang, lampu LED di belakang dan juga pengecas USB 5 volt.

GALERI: GPX Racing Gentleman 200

GALERI: GPX Racing Demon 150 GR