DSK Murni – betul ke hatchback elektrik sepenuhnya dari China ini adalah kereta nasional ketiga?

DSK Murni – betul ke hatchback elektrik sepenuhnya dari China ini adalah kereta nasional ketiga?

Baru-baru ini, muncul satu syarikat tempatan bernama DSK Industri, dan apa yang menarik mereka mendakwa sebagai pengeluar kereta elektrik sepenuhnya (EV) dari Malaysia serta sebagai “pengeluar kereta nasional Malaysia ketiga”. Laman sesawang mereka juga telah menyiarkan imej-imej sebuah hatchback EV bersaiz kompak diberi nama DSK Murni.

Setelah di teliti, hatchback Murni berkenaan adalah seiras dengan model SiTech DEV1 dari China, iaitu sub-jenama di bawah payung FAW. Walau bagaimanapun, spesifikasi Murni ini sebenarnya agak menarik – boleh dipandu sejauh 350 km dengan satu cas penuh, dengan fungsi cas cepat bagi mendapatkan 80% penuh dalam masa 40-minit, sementara cas penuh menggunakan soket tempatan biasa mengambil masa selama 5.5 jam. Kapasiti bateri kereta ini pula adalah 100,000 mAh.

Murni dibekalkan dengan motor synchronous magnet tetap berprestasi tinggi berkuasa 55 kW dan tork maksima 170 Nm. Ini membolehkan kereta dengan berat 1,120 kg ini memecut dari kedudukan pegun hingga 50 km/j dalam masa 4.8 saat. Dengan pemanduan dalam jarak 100 km akan menggunakan kuasa sebanyak 13.1 kWj.

DSK Murni – betul ke hatchback elektrik sepenuhnya dari China ini adalah kereta nasional ketiga?

Ia juga didakwa menggunakan litar elektrikal IP67-sealed, dan mempunyai sistem pengurusan bateri on-board bagi mengelakkan ia terlebih cas atau nyah cas terlalu cepat. Selain itu, sistem pengurusan suhu pintar juga dilengkapkan bagi mengawal selia suhu operasi bateri – memanaskan ketika cuaca sejuk dan menyejukkannya ketika cuaca panas.

Kereta ini direka dengan gaya industri Nordic ringkas, dakwa DSK Industri. Mukanya diberikan lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED berbentuk-C, dengan gril tanpa liang udara yang turut menyorokkan port pengecasnya. Bahagian belakang turut direka ringkas dengan sepasang lampu belakang LED tirus, dan rim aloi dua-tona melengkapkan rupa model ini.

Bahagian dalaman juga nampak agak menarik jika dilihat dalam gambar, menampilkan skrin sesentuh utama yang berdiri sendiri dengan saiz 10-inci, manakala pemandu menerima maklumat dari paparan instrumen digital lapan-inci. Oh ya, masih lagi belum ada gambar untuk versi pemanduan sebelah kanan, di mana imej yang disiarkan semuanya dari versi pemanduan sebelah kiri.

DSK juga mendakwa bahawa Murni menerima sistem kereta pinta D.OS, yang mereka reka sendiri secara bersendirian. Sistem tersebut memberikan pengalaman perjalanan bersepadu dari cloud menerusi “hubungan fizikal, aliran data dan pengiraan.” Kami masih kurang jelas sebenarnya apa yang dimaksudkan, namun apa yang kami perasan DEV1 turut mempunyai D.OS yang sama – tambah mengelirukan kerana DSK mendakwa mereka membinanya sendiri, dan kami tidak pasti sama ada kedua-dua sistem tersebut mempunyai fungsi yang sama.

Ciri-ciri lain yang turut diterima EV kompak ini termasuk sistem pengenalan muka untuk mengunci/membuka kunci kereta ini, aplikasi mudah alih untuk memantau status kereta dari jarak jauh, dan juga sistem pengenalan ID (D-User) bagi mengoperasikan sistem-sistem terhubung termasuk melayari internet dan streaming muzik/filem.

Pada pasaran China, DEV1 turut mempunyai sistem bayaran tanpa tunai bina dalam yang digelar “brushing payment,” dan ia dijual pada harga 100,000 yuan atau sekitar RM60,000. Laman sesawang DSK Industri ini juga mengumumkan bahawa mereka kini sedang mencari pengedar di Malaysia, tetapi apa yang meragukan nombor telefon yang diberikan adalah nombor dari Singapura, dan mempunyai laman Facebook dengan nama Autod Singapore.





GALERI: SiTech DEV1 pasaran China

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required