SM Sport 110R yang pertama kali dilancarkan pada 2017 kini diperkenalkan dengan grafik baru. Merupakan sebuah jenama baru yang diedarkan oleh Mforce Bike Sdn Bhd, ia menggunakan enjin satu silinder empat strok 109 cc SOHC, dengan sistem bahan api karburetor dan dibangunkan hasil kerjasama dengan Qian Jiang Motorcycle (juga adalah pemilik jenama Benelli) dari China.

Kebanyakan bahagian motosikal ini diimport manakala 30 peratus daripadanya adalah dari Malaysia sendiri. Pada masa hadapan, Mforce akan meningkatkan lagi penggunaan bahan tempatan untuk menjadi sehingga 60 peratus.

Padanan transmisi yang digunakan adalah jenis empat kelajuan, tanpa klac tangan dan ia mampu menghasilkan 6.4 hp pada 7,500 rpm dan 7.0 Nm tork pada 7,000 rpm. Pada bahagian hadapan terdapat fork teleskopik dan tayar 70/90 R17, manakala di belakang terdapat dua penyerap hentak, dan tayar 80/90 R17. Tugas membrek pula dilaksanakan sistem cakera 220 mm di hadapan dan dram di belakang.

SM Sport 110R juga mempunyai beberapa ciri keselamatan istimewa seperti, lampu nyalaan siang (DRL), lampu isyarat hadapan dan belakang LED, sistem suspensi belakang Kayaba (KYB), ruang penyimpanan besar, suis anti-kecurian, sepasang tayar tanpa tiub dan satu soket pengecas USB 5V.

Kapcai ini dijual pada harga RM3,918.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insuran) dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, yang mana dahulu. Terdapat tiga pilihan warna – hitam, biru dan merah bagi pengenalan dengan grafik baru ini.