Nampak gayanya Peugeot telah bersedia untuk membangunkan model prestasi tinggi 508 Sport Engineered Concept, laporan CarAdvice. Ia adalah susulan jawapan CEO syarikat, Jean-Philippe Imparato menjawab pertanyaan menerusi Twitter berhubung dengan ‘kebarangkalian untuk memproduksi model prestasi 508, dan beliau menjawab, “ya, kami memang akan melakukannya!”

Bertambah menarik apabila dikhabarkan sedan plug-in hybrid ini akan dilengkapi dengan enjin PureTech 200 termaju dengan gabungan dua motor elektrik. Satu e-motor menghasilkan 112 hp dan pacuan ke roda hadapan, di mana ia akan mengasingkan 203 hp (150 kW) ke roda belakang, menjadikannya sebagai kereta pacuan semua-roda elektrik.

Penjana kuasa elektrifikasi ini dikatakan mampu menghasilkan kombinasi keseluruhan kuasa sehingga 350 hp, walau bagaimana pun ia belum disahkan oleh Peugeot. Walau bagaimana pun, pengeluar kereta French ini berkata, jentera ini mampu mencapai pecutan penuh dalam tempoh hanya 4.3 saat sebelum mencecah kelajuan puncak 250 km/j. Bukan itu sahaja, bateri 11.8 kWh yang diletakkan di bawah lantai juga membantu menyalurkan pacuan semua-elektrik sehingga jarak 50 km.

Untuk rekaannya, 508 Sport Engineered menerima sentuhan yang lebih sporty, termasuk rekaan semula bahagian hadapan dengan elemen ala 3D, termasuk saluran udara ke radiator yang direka lebih spesifik. Malahan aerodinamik juga telah ditambah baik hasil flap baharu pada subframe dan panel yang menampilkan kecil untuk aliran udara yang lebih lancar. Walau bagaimana pun, untuk unit produksi, rekaan yang sarat mungkin akan dikurangkan sedikit.

Bahagian luaran yang dipertingkatkan termasuklah warna Selenium Grey yang berubah mengikut beberapa keadaan pencahayaan, cermin pintu gentian karbon, dan gril hadapan yang nampak lebih agresif, serta lencana Singa yang pertama kali dilihat menerusi konsep e-Legend.

Untuk kabinnya, model konsep 508 diterapkan dengan Peugeot i-Cockpit yang digunakan kini diberikan lebih penekanan kepada ciri prestasi dan anda boleh lihat terdapat banyak bahagian yang sama ada dibalut dengan Alcantara, dibuat daripada gentian karbon ataupun dihias dengan jahitan benang hijau terang. Elemen lain termasuk panel instrumen digital penuh 12.3-inci, roda stereng kompak asimentrikal, tuil gear sentuhan-sensitif serta skrin sesentuh resolusi tinggi 10-inci “all Kryptonite”.

Pengenalan terhadap model konsep 508 Peugeot Sport Engineered dilihat sebagai satu perkara yang sangat penting buat pengeluar kereta Perancis ini. Groupe PSA mensasarkan untuk mengelektrifikasikan setiap modelnya menjelang tahun 2025, dan elektrifikasi ini akan melibatkan senibina Common Modular Platform (CMP) dan Efficient Model Platform (EMP2). 508 adalah berdasarkan platform EMP2. Peugeot juga akan memperkenalkan model Battery Electric Vehicle komersil pertamanya tahun ini.