GALERI: Nissan X-Trail – facelift 2019 vs yang lama

GALERI: Nissan X-Trail – <em>facelift</em> 2019 vs yang lama

Ketika ini, anda mungkin sudah mengetahui pembaharuan yang dilakukan terhadap Nissan X-Trail facelift 2019 untuk pasaran Malaysia yang kini telahpun dibuka untuk tempahan dan akan dilancarkan April nanti.

Untuk memudahkan lagi anda membandingkan sendiri perubahan yang ada secara visual, ini kami sediakan galeri khas dengan kedua-dua versi lama dan baru SUV tujuh-tempat duduk Nissan ini yang ditampilkan sebelah-menyebelah.

Ada empat varian akan ditawarkan; bermula dengan X-Trail 2.0L 2WD (RM139,900), X-Trail 2.0L 2WD Mid (RM149,900), X-Trail 2.5L 4WD (RM159,900), dan spesifikasi paling tinggi, X-Trail 2.0L Hybrid (RM169,900). Semua harga yang dinyatakan ini adalah anggaran, dan Edaran Tan Chong Motor memaklumkan harga sebenar nanti mungkin lebih rendah.

TERKINI: ETCM baru sahaja mengumumkan “harga rasmi sementara” untuk X-Trail facelift dan ia lebih rendah daripada anggaran sebelum ini: RM133,888 untuk 2.0L 2WD, RM145,888 untuk 2.0L 2WD Mid, RM153,888 untuk 2.5L 4WD dan RM159,888 untuk Hybrid (tidak termasuk insurans).

Rekaan luaran banyak perbezaan yang terlibat. Misalnya gril radiator V-Motion bagi versi terbaru kini lebih besar dan jelas kelihatan. Lampu utama juga baru, dengan lampu DRL LED sekali. Varian paling asas 2.0L 2WD sahaja yang menggunakan lampu utama halogen – varian lain dilengkapi lampu utama projektor LED.

GALERI: Nissan X-Trail – <em>facelift</em> 2019 vs yang lama

Bahagian bampar juga baru sepenuhnya, dengan lampu kabus kini tampil lebih tirus. Diffuser juga lebih jelas kelihatan. Model ini masih menggunakan rim bersaiz 17-inci, tetapi dengan rekaan jejari yang baru. Hanya bagi varian 2.5L 4WD dan 2.0L Hybrid menerima kemasan rim warna titanium gelap.

Di belakang, lampunya kini menggunakan perumah yang lebih gelap. Turut hadir sama ialah antena “sirip jerung” yang menggantikan versi lama, serta bampar dan diffuser rekaan baru. Bukaan pintu barangan belakang juga boleh dilakukan dengan gerak kaki bagi semua varian kecuali yang paling asas.

Di dalam, stereng balutan kulit yang bawahnya rata menggantikan yang lama. Paparan digital Advanced Drive Assist pada panel instrumen, kemasan hitam pada corong udara, kemasan kulit pada sebahagian panel yang ada serta tuil gear baru.

Sistem infotainmen kini menyokong ciri Android Auto dan Apple CarPlay. Selain itu, suis brek parkir elektrik-mekanikal juga telah menggantikan brek parkir kaki pada model lama. Perlu juga dinyatakan, bahawa varian hibrid kini hanya tinggal lima-tempat duduk (bukan lagi 5+2) untuk memberi ruang kepada tempat meletak bateri sistem berkenaan di bawah lantai ruang barangan belakang.

GALERI: Nissan X-Trail – <em>facelift</em> 2019 vs yang lama

Pilihan enjin pula terdiri daripada MR20DD 2.0 liter empat-silinder dengan janaan 144 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm. Pilihan kedua pula hadir dengan unit QR25DE 2.5 liter dengan kuasa 171 PS pada 6,000 rpm dan 233 Nm pada 4,400 rpm.

Bagi versi hibrid, ia berkongsi enjin 2.0 liter yang sama, tetapi digandingkan dengan motor elektrik dengan janaan tambahan 41 PS dan 160 Nm – yang menerima kuasanya dari bateri lithium-ion 0.9 kWh yang diletak pada bahagian barangan di belakang.

Model hibrid ini dilengkapi juga dengan ciri Intelligent Dual Clutch Control – satu motor dengan sistem hibrid selari dua-klac. Dua klac di sini merujuk kepada klac antara enjin dan motor elektrik, serta klac di antara motor elektrik dan Xtronic CVT. Dengan enjin dalam keadaan tidak aktif, SUV ini boleh meluncur dengan kelajuan sehingga 120 km/j.

Dari aspek keselamatan, ciri Nissan Intelligent Mobility kini hadir untuk semua varian. Ini termasuk ciri seperti Around View Monitor dengan Intelligent Moving Object Detection, Intelligent Ride Control, Intelligent Engine Brake dan Intelligent Trace Control.

Varian 2.0L Mid turut menerima ciri Lane Departure Warning, Blind Spot Warning, Motion Activated Power Tailgate dan Rear Cross Traffic Alert. Hanya varian 2.5L 4WD dan 2.0L Hybrid dilengkapi Intelligent Cruise Control, High Beam Assist dan Intelligent Forward Collision Warning dengan Intelligent Forward Emergency Braking (AEB).

Jumlah beg udara untuk tiga varian teratas juga dinaikkan kepada enam semuanya sebagai standard. Varian paling asas hanya menerima empat beg udara. Lain-lain ciri keselamatan yang ada termasuklah Electronic Parking Brake dengan Auto Hold, Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS), ABS dengan EBD, Brake Assist, Hill Start Assist (HSA) dan dua cagak Isofix.

Nissan X-Trail facelift ini datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan. Bagi model hibrid, ia juga termasuk sekali dengan jaminan alat ganti dan bateri untuk sistem hibrid yang ada. Sempena kempen pra-pelancarannya, pelanggan juga layak menikmati servis penyelenggaraan berjadual selama dua tahun atau 40,000 km, yang mana dahulu. 500 pelanggan pertama yang mendaftarkan kenderaan mereka juga akan menerima hadiah misteri bernilai RM488.

Nissan X-Trail 2.0L 2WD 2015

Nissan X-Trail 2.0L Mid 2WD 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required