Tiga pelumba yang bermula dari permainan video

Setiap kali ada insiden keganasan, pasti ada sahaja ada pihak yang mengaitkan perkara tersebut dengan permainan video. Ini bukan perkara baharu, seingat saya isu ini telah mula di sebut sejak saya masih di bangku sekolah. Benarkah jika terlalu obses dengan kelakuan ganas di dunia maya akan mendorong seseorang itu membuat benda yang sama di dunia sebenar?

Kami pun tak tahu sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut sebab kami bukan pakar, tetapi apa yang saya nak cerita pada kali ini adalah memang ada pelumba di dunia nyata yang memulakan karier mereka dengan berlumba dalam permainan video! Malah menurut ‘Drift King’ Keiichi Tsuchiya, memang ada pelumba sebenar dari Jepun yang akan berlatih menggunakan simulator permainan video ini sebagai persiapan untuk berlumba di litar luar negara.

Menerusi artikel ini, saya akan paparkan tiga orang pelumba yang melangkah ke dunia perlumbaan sebenar dari permainan video.

1. Jann Mardenborough

Mardenborough sebenarnya pernah diperkenalkan pada perlumbaan Kart pada umur lapan tahun, namun akibat kekangan kewangan dia terpaksa berhenti dari meneruskan cita-citanya untuk menjadi pelumba sebenar ketika berumur 11 tahun. Tetapi dia terus berseronok dengan permainan video sehinggalah pada tahun 2011, dia menyertai perlumbaan maya atas talian Gran Turismo 5 menerusi pelantar Sony PlayStation 3.

Pertandingan tersebut digelar sebagai GT Academy, di mana pemenangnya akan dilatih oleh Nissan untuk berlumba di perlumbaan endurance Dubai 24-jam. Dari 90,000 pelumba maya yang bertanding, Mardenborough berjaya menjadi lapan pelumba terbaik dan melayakkan diri ke pusingan akhir, seterusnya berjaya menjadi juara GT Academy 2011.

Selepas itu, bermulalah karier Jann Mardenborough sebagai pelumba professional. Budak lelaki dari Cardiff, UK yang lahir pada tahun 1991 itu mula berlumba dalam pelbagai perlumbaan seperti Formula 3, siri GP2 dan GP3. Kini Mardenborough berlumba untuk pasukan Impul di Kejohanan Super GT Jepun, memandu Nissan GT-R R35.

2. Enzo Bonito

Enzo Bonito merupakan pelumba maya dari Itali yang berlumba secara atas talian dalam berberapa platform dan kejuaraan seperti Gran Turismo, iRacing GT3 dan F1 Esport Series. Atas rekod-rekod kejayaanya, Bonito terpilih untuk mewakili pasukan Sim Racing All Star untuk menentang juara-juara dalam perlumbaan sebenar di Race of Champion bermula pada edisi 2018.

Tetapi sebenarnya nama Enzo Bonito ‘meletup’ di Race of Champion yang berlangsung Mexico awal tahun ini di mana beliau yang kini berusia 23 tahun telah menewaskan dua pemandu handalan dunia sebenar iaitu Juara Formula E 2016-2017 Lucas di Grassi dan juga juara Indy 500 tiga-kali Ryan Hunter-Reay!

Walau bagaimanapun, Enzo Bonito masih lagi belum menyertai mana-mana musim penuh perlumbaan sebenar, dan beliau kini memandu untuk pasukan Mclaren dalam kejohanan F1 Esport Series.

3. Richard Hopkins

Berbeza dari Jann Mardenborough dan Enzo Bonito yang lahir dari platform-platform lebih terkini, nama Richard Hopkins dikenali sekitar 17-tahun dahulu menerusi pelantar Sony PlayStation 2. Hopkins merupakan seorang pengurus IT yang begitu berminat dengan perlumbaan rali, dan berlumba dalam permainan video WRC 3.

Pada tahun 2002, Hopkins berjaya memenangi gelaran ‘Juara WRC’ dengan hanya berlumba di dalam bilik tidurnya, mengalahkan pelumba-pelumba maya lain dari seluruh Eropah dan Amerika menerusi satu pertandingan yang dijalankan secara atas talian. Menurut Hopkins dalam temu ramah Fifth Gear musim kelima, selepas dia memenangi perlumbaan maya tersebut, dia terus masuk ke sekolah rali dan dua bulan selepas itu Hopkins mula berlumba dalam rali sebenar.

Richard Hopkins berlumba dalam siri kejuaraan Rali Wales dalam kategori produksi memandu Subaru Impreza Group N, dan berjaya mendapat tempat kedua secara keseluruhan musim. Siapa sangka pada akhir tahun, Hopkins ditawarkan untuk memandu dalam salah satu pusingan WRC sebenar iaitu Rally GB, berhadapan dengan pelumba antarabangsa seperti Colin McRae dan Marcus Gronholm, serta memandu Subaru Impreza WRC yang pernah dipandu oleh Richard Burns!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required