Sime Darby Auto Connexion telah umumkan dua warna baru bagi Ford Ranger Raptor di Malaysia, dengan pilihan antara Absolute Black dan Arctic White. Ia akan menyertai dua lagi warna yang ditawarkan terdahulu, iaitu Lightning Blue dan Conquer Grey. Ini bermaksud, untuk tahun 2019, pelanggan tempatan mempunyai empat pilihan warna.

Bagaimanapun, ruang dalaman masih lagi akan menggunakan kemasan benang biru untuk tempat duduk separa kulitnya. Selain daripada itu, semuanya kekal sama dengan senarai spesifikasi ketika model ini diperkenalkan tahun lalu. Ranger Raptor dijual pada harga RM199,888 atas jalan tanpa insurans dan datang dengan jaminan tiga-tahun atau 100,000 km.

Ia menggunakan enjin Panther 2.0 liter EcoBlue bi-turbo empat-silinder diesel yang menghasilkan sebanyak 213 PS dan 500 Nm tork. Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik 10-kelajuan 10R80 Getrag untuk memberikan maklum balas yang lebih baik.

Kelengkapan lain antaranya DRL dan lampu kabus LED, sistem tanpa kunci dengan butang Push Start, kawalan cruise, active noise cancellation, kawalan pendingin hawa dua zon dan banyak lagi. Stereng juga lebih tebal, dengan balutan kulit serta ada paddle shifter.

Bagi sistem infotainmen, ia menggunakan sistem SYNC 3 dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Dari segi keselamatan, ada enam beg udara, ABS dan EBD, kawalan kestabilan, kawalan menuruni bukit, ISOFIX dan lain-lain. Ia tidak mempunyai ciri yang ada pada Wildtark paling lengkap – misalnya tiada AEB, bantuan mengekalkan lorong dan tiada juga kawalan cruise adaptif.

Aksi Ford Ranger Raptor

Ford Ranger Raptor di Malaysia