Menteri Kerja Raya, Baru Bian mengesahkan perbincangan dan rundingan dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi serta Kementerian Kewangan berhubung pelaksanaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), sudah dimulakan minggu lalu.

Menurutnya, penentuan tempoh pelaksanaan projek itu akan diumumkan selepas menerima pengesahan mengenai model pelaksanaan dan peruntukan kewangan, laporan Berita Harian.

“Mengenai hala tuju projek LPT3, Kementerian Kerja Raya sudah memulakan rundingan dengan kementerian berkaitan berikutan pengumuman lima projek baharu yang bakal dilaksanakan di Wilayah Pantai Timur (ECER). Sehubungan itu, tempoh pelaksanaan LPT3 akan diumumkan sebaik kita menerima pengesahan, terutama membabitkan model pelaksanaan dan soal kewangan yang diperuntukkan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) yang ingin mengetahui bila projek LPT3 akan dimulakan selepas diluluskan oleh kerajaan awal bulan lalu.

Baru berkata, kajian kemungkinan bagi projek LPT3 sudah disiapkan oleh Kementerian Kerja Raya pada 2009.

“Hasil kajian terbabit, cadangan jajaran yang dipilih ialah dari Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu hingga ke Pengkalan Kubor, Kelantan sepanjang 147 kilometer yang membabitkan tiga daerah di Terengganu dan lima daerah di Kelantan. Berdasarkan kajian itu, projek LPT3 berpotensi dan berdaya maju untuk dilaksanakan bagi melengkapkan keseluruhan jajaran Lebuhraya Pantai Timur (LPT) membabitkan Pahang, Terengganu dan Kelantan,” katanya.