Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook telah mengesahkan jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diubah dengan memberi manfaat kepada Negeri Sembilan sekiranya ia diteruskan selepas rundingan diadakan dengan kerajaan China dijangka hujung bulan ini.

Menurutnya, keputusan ini dijangka dicapai dalam lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke republik itu yang antara lain akan membincangkan untuk mengurangkan kos pembinaan projek mega berkenaan, laporan Bernama.

“Saya sebagai Menteri Pengangkutan saya boleh sahkan apa dikatakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng (pada Jumaat lalu) memang betul, projek ECRL sedang dirunding dan akan ada keputusan dalam beberapa minggu ini sebab Tun Dr Mahathir akan pergi ke China akhir bulan ini. Kalau berjaya pasti Negeri Sembilan akan dapat tempias kerana kita nak fokus pembangunan,” katanya.

Pada Jumaat, Guan Eng dalam ceramahnya pada kempen PRK DUN Rantau telah memberi bayangan projek berkenaan akan diteruskan sekiranya kos pembinaannya dapat dikurangkan sehingga RM35 bilion daripada kos asal RM66 bilion. Beliau turut berkata bahawa jajaran sistem rel berkenaan akan berubah dan pasti membawa manfaat untuk Negeri Sembilan.