Akhirnya, MPV super mewah yang disebut-sebut sebelum ini sudah pun muncul – Lexus hari ini telah mendedahkan Toyota Alphard versinya, digelar Lexus LM. Seperti yang diketahui, Alphard dan Vellfire bukanlah model yang popular di Eropah mahupun Amerika, namun ia menjadi pilihan utama hartawan di Asia, dan Lexus LM ini juga bukan model global, sebaliknya ia disahkan “akan berada pada pasaran China dan Asia terpilih tidak lama lagi.”

Jika anda rasa Alphard Royal Lounge itu sudah cukup mewah, mari sini kita tengok bagaimana pula rupa bahagian kabin belakang Lexus LM ini. Secara asasnya, ia mempunyai konfigurasi sama seperti Royal Lounge dengan hanya empat tempat duduk, menampilkan captain seat pada baris kedua dan juga pemisah antara kabin belakang untuk lebih privasi. Tempat duduk mewah untuk bos tersebut boleh dibaringkan sepenuhnya, dibina dengan span urethene berketumpatan tinggi, menawarkan keselesaan seperti sofa mewah. Ia turut disejukkan dengan liang-liang sedutan udara.

Di hadapan dua tempat duduk mewah tersebut diletakkan skrin bersaiz 26-inci yang mungkin sama besar dengan TV di rumah anda. “Ruang tamu” dalam Lexus LM ini turut lengkap dengan peti sejuk, ruang penyimpan payung. Konsol tengahnya direka dengan menempatkan panel sesentuh bagi mengawal fungsi-fungsi seperti kedudukan tempat duduk, fungsi-fungsi keselesaan, penghawa dingin dan juga sistem audio Mark Levinson.

Tak cukup puas? Anda boleh memilih opsyen sistem bunyi JBL bersama skrin dua-inci lebih lebar. “Bilik” kabin belakang ini juga dipenuhi dengan balutan-balutan kulit lembut serta hiasan Gin-Sui-Boku (Silver Ink) yang diinspirasikan dari hasil seni lukisan ink wash.

Selain dari konfigurasi super-mewah ini, Lexus LM sebenarnya turut hadir dengan versi tujuh tempat duduk yang lebih sesuai untuk kegunaan keluarga (gambar tidak disertakan). Model tersebut menampilkan tempat duduk mewah untuk barisan kedua dengan perehat tangan lebih selesa, manakala baris ketiga diberikan tempat duduk jenis bench.

Seperti yang dijangkakan sebelum ini, Lexus LM diperkenalkan dalam dua varian iaitu LM 350 dan LM 300h. Sama seperti Alphard, model LM 350 diberikan enjin 3.5 liter V6 suntikan bahan api terus 2GR-FKE, manakala versi hibrid LM 350h pula menerima gabungan enjin 2.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 150 hp dan motor elektrik 141 hp, bersama satu lagi motor elektrik di belakang berkuasa 67 hp.

Pembeli juga boleh memilih pacuan untuk Lexus LM mereka, sama ada pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda. Bagi memastikan keselesaan berada pada tahap optimum dan melebihi apa yang boleh ditawarkan Alphard, MPV Lexus ini dilengkapi dengan penyerap hentak dengan teknologi injap hanyunan, yang diperkenalkan pertama kali pada Lexus ES.

Rekaan luar juga menerima sentuhan Lexus sebenar di mana lampu asal Alphard digantikan dengan lampu lebih tirus bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah persis model-model Lexus lain. Ia turut diberikan gril signatur ‘Spindel’ bersama logo Lexus di tengah bagi melengkapkannya sebagai sebuah Lexus sebenar.

Tiang-B signatur Alphard masih lagi dikekalkan, tetapi tahap premiumnya ditingkatkan lagi dengan kemasan krom seakan dua anak panah bertemu pada bahagian berbentuk-S berkenaan. Lampu belakang pula menerima sedikit sentuhan semula dengan bentuk ‘taring’ krom pada kedua-dua sisi bawah, dan ia terus merentangi pintu tailgate belakang. Lexus hanya menawarkan dua warna badan untuk LM ini iaitu hitam dan putih mutiara.