Minggu lalu Lexus telah menyiarkan imej teaser berupa muka sebuah model baharu, tanpa sebarang perincian kecuali membayangkan bahawa ia sebuah model dengan ruang yang luas. Kini satu lagi teaser didedahkan dan ia sah sebuah MPV, dan bakal didedahkan di Auto Shanghai 2019 16 April ini.

Seperti dijangka juga, model berkenaan diasaskan dari Toyota Alphard – ia jelas melihatkan bentuk unik tiang-B MPV yang sememangnya boleh dikelaskan sebagai model mewah berkenaan. Bagi mengangkat lagi nilai premium MPV ini berbanding Alphard, Lexus nampaknya memberikan kemasan krom membentuk huruf ‘S’ menerusi tingkap hadapan hingga belakang, melalui tiang-B berkenaan.

Pada bahagian muka pula, Lampu asal Alphard digantikan dengan lampu lebih tirus bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah persis model-model Lexus lain. Ia turut diberikan gril signatur ‘Spindel’ bersama logo Lexus di tengah bagi melengkapkannya sebagai sebuah Lexus sebenar.

Desas-desus bertiup, model ini dijangka akan digelar sebagai Lexus LM dan hadir dengan dua varian iaitu LM350 dan LM 300h. Ia juga dijangka akan dikuasakan unit janakuasa yang sama seperti Alphard iaitu enjin 3.5 liter V6 suntikan bahan api terus 2GR-FKE berkuasa 300 PS, manakala versi hibrid pula menerima gabungan enjin 2.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 150 hp dan motor elektrik 141 hp, bersama satu lagi motor elektrik di belakang berkuasa 67 hp.

Portal berita dari Jepun, Chukei-News turut ada melaporkan berita berkenaan MPV mewah dari Lexus ini. “Toyota Motor merancang untuk memperkenalkan minivan (MPV) pertama untuk jenama mewah mereka iaitu Lexus. Syarikat tersebut akan memulakan produksi besar-besaran pada tahun 2020 di kilang subsidiarinya Toyota Auto Body Inabe (Inabe City)” sebut laporan tersebut.

“Buat permulaan, eksport dan jualan dijangka akan disasarkan pada pasaran China dan Asia. Di China dan Asia, populariti minivan besar, terutamanya untuk golongan berada sangat menggalakkan,” sebut laporan berkenaan lagi.

GALERI: Toyota Alphard 3.5 Executive Lounge