Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) telah mengumumkan akan mengadakan latihan kecemasan (ERP) di Kilometer 3.2 dekat Terowong Penchala di Lebuhraya SPRINT, 20 April (Sabtu) ini. Latihan terbabit diadakan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia, polis, bomba, polis peronda lebuh raya dan Petron Malaysia.

Ia akan menyaksikan simulasi kejadian kemalangan yang melibatkan kenderaan berat “Tanker” Petron yang terbalik dan melanggar lori satu tan yang membawa bahan kimia berbahaya, dan dua kereta yang terbakar dan terbalik di Terowong Penchala.

Menurut kenyataan SPRINT yang disiarkan di laman web rasminya, latihan kecemasan yang membabitkan laluan dari arah Bukit Kiara/ Hartamas menghala ke Penchala, bermula pada pukul 7 pagi hingga 9.30 pagi.

Pengguna lebuh raya dari arah Bukit Kiara, Hartamas dan Jalan Duta menghala ke Kampung Sungai Penchala, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) akan dilencongkan ke laluan kontra sepanjang tempoh latihan belangsung, kata kenyataan itu. Selain itu, kon-kon trafik dan papan tanda arahan akan diletakkan di lokasi sepanjang latihan kecemasan dijalankan untuk membantu pengguna lebuh raya.