Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd hari ini telah melancarkan dua model baru untuk pasaran Malaysia iaitu Z250 dan Z400 2019 dengan harga masing-masing RM21,998 dan RM28,755 tidak termasuk insurans. Model Z250 baru ini menjadi pengganti kepada model sebelumnya manakala Z400 pula adalah pengganti bagi Z300 dalam pasaran sebelum ini.

Asas dua motosikal ini adalah sama, dan antara pembaharuan berbanding model sebelum ini adalah termasuk panel badan, semua lampu LED, panel meter sama seperti model Z650, kerangka jenis Trellis (membantu menjadikan ia ringan empat kilogram) dan rim lima jejari seperti Z650.

Menurut Kawasaki, enjin yang dilengkapi pada Z250 dan Z400 2019 ini adalah enjin serba baru, tetapi masih menggunakan tetapan dua silinder selari, penyejukan cecair dan DOHC. Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, model baru ini mempunyai injector serta throttle body Mikuni 32 mm baru (sebelum ini Keihin 28 mm).

Bagi Z250 yang mempunyai kapasiti 249 cc, kuasanya adalah 36.5 hp (37 PS) pada 12,500 rpm dan 23.5 Nm tork pada 10,000 rpm (meningkat 5 hp dan 2.5 Nm), manakala Z400 yang mempunyai kapasiti 399 cc mampu menghasilkan kuasa 48 hp (49 PS) pada 10,000 rpm dan 38 Nm tork pada 8,000 rpm. Kedua-duanya juga didatangkan dengan kotak gear enam kelajuan bersama klac jenis slip and assist.

Kelengkapan lain yang berada pada Z250 dan Z400 2019 ini adalah brek cakera depan dan belakang yang dilengkapi dengan sistem ABS two channel, tangki bahan api 14 liter (lebih kecil tiga liter berbanding model sebelum ini), fork teleskopik 41 mm, monoshock dengan pelarasan pra beban serta rim 17 inci (tayar 110/70 di depan dan 140/70 di belakang untuk Z250, manakala Z400 menggunakan tayar belakang 150/70).

Hanya satu pilihan warna disediakan untuk setiap model baru ini iaitu Candy Lime Green untuk Z250 ABS 2019 dan Pearl Storm Grey untuk Z400 ABS 2019.

GALERI: Kawasaki Z250 ABS 2019

GALERI: Kawasaki Z400 ABS 2019