Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang berjaya mengutip keuntungan sebanyak RM2.31 juta menerusi program lelongan awam kenderaan yang dianjurkan semalam. Walau bagaimana pun, jumlah keuntungan tersebut tidak termasuk hasil kutipan buku lelong sebanyak RM105,000 sejak ia mula dijual pada 23 Mac lalu.

Menerusi laporan yang disiarkan Berita Harian, sebanyak 100 kenderaan sita yang dilelong kepada orang awam habis dibida pada jam 2 petang. Di mana daripada 100 kenderaan sita itu, hanya 97 kereta boleh dilesenkan manakala tiga lagi tidak boleh didaftarkan (scrap).

Dalam program lelongan tersebut, dua unit Toyota Estima 2.4 telah berjaya menerima bidaan tertinggi, masing-masing dibida dengan harga RM52,000. Manakala kutipan bidaan terendah adalah dua unit Nissan Sentra 1.6 dan Nissan March 1.0 yang dibida dengan harga RM7,000 setiap satu. Selain itu, tiga kenderaan yang tidak boleh daftar (scrap) mencatatkan kutipan bidaan RM 9,200.

Program lelongan awam itu sepatutnya diadakan selama dua hari, bagaimanapun ia habis dijual lebih awal daripada jangkaan yang ditetapkan iaitu hanya berlangsung selama empat jam saja.