Setelah sekian lama tertangguh, lewat petang ini, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) kepada semua kenderaan berdaftar di negara asing yang memasuki Malaysia mulai 1 Oktober ini. Ia akan dilaksanakan di semua pintu masuk sempadan Malaysia dan VEP akan dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Seksyen 66H Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian terbabit, mana-mana kenderaan asing yang ingin memasuki negara perlu memohon dan mendaftar VEP secara dalam talian menerusi https://vep.jpj.gov.my. Selepas pendaftaran, pemilik kenderaan akan menerima notifikasi menerusi e-mel untuk temujanji pemasangan tag VEP-RFID. Hanya kenderaan yang berdaftar sahaja yang akan dibenarkan memasuki Malaysia apabila sistem ini dikuatkuasakan kelak.

Walau bagaimana pun, turut dimaklumkan bahawa pelaksanaan VEP ini akan dilaksanakan mengikut fasa. Bagi fasa pertama, ia akan dimulakan dengan kenderaan pendaftaran asing yang memasuki Malaysia menerusi Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, kedua-duanya dari pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura.

Manakala fasa kedua pula melibatkan semua pintu masuk sempadan antara Malaysia dan Thailand. Seterusnya fasa ketiga yang melibatkan pintu masuk sempadan antara Malaysia-Brunei-Indonesia. Walau bagaimana pun, tarikh jangkaan pelaksanaan untuk fasa kedua dan ketiga hanya akan diumumkan kelak.

Untuk fasa pertama, tag VEP-RFID boleh dipasang di empat lokasi di Johor Bahru iaitu di R&R Gelang Patah arah selatan, kawasan parkir terbuka Plaza Angsana, R&R Pandan dan Plaza Tol Lima Kedai. Sebelum memasangnya, pemilik kenderaan dikehendaki membawa segala dokumen yang diperlukan (seperti mana yang akan dinyatakan menerusi notifikasi e-mel yang dihantar kepada pemohon selepas pendaftaran). VEP bagi setiap kenderaan berdaftar akan sah dalam tempoh lima tahun.

Menerusi sistem VEP ini, ia juga akan membantu pihak berkuasa Malaysia mengenalpasti mana-mana kenderaan pendaftaran asing yang masih belum menyelesaikan saman trafik di negara ini, menyita kenderaan klon yang dibawa masuk menerusi negara jiran dan juga mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang berada di negara ini melebihi had tempoh yang ditetapkan.