Kementerian Kewangan memaklumkan bagi minggu bertarikh 27 April hingga 3 Mei 2019, harga runcit bagi petrol RON97 dilaporkan naik 1 sen seliter iaitu RM2.81 seliter berbanding RM2.80 seliter pada minggu sebelumnya. Harga baharu ini efektif tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan.

Walau bagaimana pun harga runcit bagi petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Manakala harga runcit diesel Euro 2M juga kekal pada harga RM2.18 seliter, dan diesel Euro 5 pula RM2.28 seliter.

Menurut kementerian terbabit, berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit bagi petrol dan diesel sepatutnya naik masing-masing 1 sen dan 2 sen. Iaitu petrol RON95 sepatutnya menjadi RM2.51 seliter dan diesel pula RM2.48 seliter. Namun kerajaan memutuskan untuk menstabilkan harga runcit bagi bahan api berkenaan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat. Anggaran tanggungan subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 27 April hingga 3 Mei adalah berjumlah RM133.62 juta.