Jenama peruncit alat ganti dan aksesori automotif terkenal Jepun, Autobacs, telah pun memperkenalkan minyak enjin sintetik penuh untuk pasaran Malaysia, hasil kerjasama pengedaran eksklusif dengan CKL Group (M) Sdn Bhd, syarikat induk rangkaian Lim Tayar. Kini, produk Minyak Enjin Sintetik Penuh Autobacs boleh didapati di seluruh negara di semua cawangan Lim Tayar dan Autobacs Malaysia, serta pengedar alat ganti automotif yang lain di negara ini.

Varian minyak enjin sintetik penuh Autobacs yang ditawarkan adalah seperti berikut; 5W-30 (4L-RM252), 5W-30 (1L-RM68), 5W-40 (4L-RM252), 5W-40 (1L-RM68), 0W-20 (4L-RM252),0W-20 (1L-RM68), 0W-30 (4L-RM298) dan 0W-30 (1L-RM75). Menurut Autobacs, minyak enjin tersebut juga sesuai untuk penjana kuasa petrol dan diesel, malah varian OW-20 dan OW-30 juga boleh digunakan untuk kereta mesra alam. Manakala minyak enjin semi sintetik Autobacs pula dijangka akan diperkenalkan di sini pada suku ketiga (Q3) tahun ini.

“Autobacs amat teruja dengan kerjasama antara CKL Group ini kerana ia membolehkan kami membekalkan pelbagai produk kami yang dihasilkan dengan teknologi penyelidikan dan pembangunan Jepun kepada pengguna-pengguna di Malaysia,” ujar Hidemitsu Ansai, Pengurus Kumpulan Perancangan & Pengurusan Autobacs Seven – Bahagian Perniagaan Luar Negara.

Autobacs merupakan jenama Jepun yang ditubuhkan sejak tahun 1948 dan merupakan poborong dan peruncit alat ganti automotif di Osaka, Jepun, dan sehingga kini telah mempunyai 600 cawangan di negaranya. Manakala Lim Tayar pula merupakan syarikat tempatan yang beroperasi sebagai rangkaian penyelenggaraan kenderaan dan mempunyai 20 cawangan di seluruh negara.