Mulai hari ini, peraturan baharu bagi cermin gelap kenderaan persendirian telah dikuatkuasakan. Seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pindaan peraturan baharu tersebut masih mengekalkan peratusan ketelusan cahaya (VLT) bagi cermin depan utama kenderaan ialah 70%, manakala cermin tepi kiri dan kanan pemandu pula ialah 50%.

Bagi cermin kiri dan kanan tempat duduk belakang dan cermin belakang pula, tiada had bagi VLT dengan syarat kenderaan dilengkapi cermin sisi (side mirror). Ini bermakna, penggunaan cermin gelap dengan VLT 0% dibenarkan untuk kedua-dua bahagian berkenaan.

Walau bagaimana pun, isu ini menerima maklumbalas daripada pelbagai pihak, termasuklah Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias, pihaknya menghormati peraturan baharu tersebut tetapi berpendapat bahawa tugas polis dalam penguatkuasaan akan menjadi sukar.

“Pihak polis sebelum ini tidak pernah dipanggil bagi membincangkan berhubung peraturan baru ini. Saya berasa terkilan, sebaik-baiknya mereka berbincang dan mungkin boleh ambil pandangan daripada kita,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

Azisman turut berkata, selain itu, faktor keselamatan pasukan keselamatan juga akan terjejas kerana tidak dapat melihat penumpang ketika pemeriksaan dijalankan.

“Sebelum ini, kita boleh nampak penumpang dan pemandu, namun dengan peraturan baharu ini tiada had ketelusan cahaya dibenarkan. Agak sukar bagi polis untuk membuat pemeriksaan dan mengesan penumpang di bahagian belakang,” katanya.

Tambahnya lagi, peraturan baharu itu juga menyukarkan pasukan penguatkuasaan mengesan kesalahan-kesalahan kecil seperti menggunakan telefon pintar ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar.

“Memang beberapa peraturan ditetapkan seperti mengenakan fi dan perlu memenuhi syarat lain antaranya tidak mempunyai rekod jenayah dan sebagainya, namun ia seperti lesen kenderaan juga. Ada pengguna jalan raya yang tidak mempunyai lesen dan boleh menggunakan kenderaan itu,” ujar Azisman lagi.

Dalam pengumuman yang disempurnakan semalam, Loke turut berkata, mana-mana individu boleh memohon untuk menggunakan cermin yang lebih gelap (sama ada menerusi penggunaan lapisan filem atau penggunaan kaca yang lebih gelap) yang menjadikan peratusan cahaya tampak adalah kurang berbanding peraturan (atau lebih gelap) atas sebab-sebab yang khusus seperti faktor keselamatan atau faktor kesihatan.

Bagi setiap permohonan yang dikemukakan di atas faktor keselamatan, akan dikenakan fi perkhidmatan sebanyak RM50 bagi setiap permohonan. Manakala setiap permohonan yang diluluskan pula akan dikenakan fi sebanyak RM5,000. Setiap kelulusan yang diberikan adalah untuk tempoh selama dua tahun. Individu yang telah diluluskan bagi penggunaan cermin lebih gelap hendaklah memohon semula apabila tempoh sah laku tamat dan akan dikenakan fi yang sama dalam setiap permohonannya. Namun untuk faktor kesihatan dengan pengesahan daripada doktor kerajaan, tiada sebarang fi yang akan dikenakan.