Subaru XV GT Edition kini di Malaysia – RM130,788

Subaru XV GT Edition kini di Malaysia – RM130,788

Awal April lalu, pasaran Thailand telah menerima edisi istimewa bagi Subaru XV, Subaru XV GT Edition, yang diperkenalkan ketika penganjuran Bangkok International Motor Show 2019. Kini, tibalah pula giliran pasaran Malaysia untuk menerima kedatangan model edisi istimewa ini.

Menggunakan asas varian 2.0i-P model yang sama, Subaru XV GT Edition dihasilkan dengan kerjasama antara syarikat jurutera Giken Co.Ltd., dan bekas Ketua Pereka Subaru Corporation, Masahiko “Jack” Kobayashi, yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan luaran untuk lebih 12 model produksi Subaru termasuklah WRX STI.

Untuk menampakkan kelainan dan keunikan yang tersendiri, Subaru XV GT Edition ini diberikan pakej luaran yang terdiri daripada kit bampar hadapan dan skirt sisi, ditambah pula dengan spoiler bumbung dan juga lanjutan pada bahagian bampar belakang yang menyerlahkan lagi gayanya. Malah kehadiran jalur warna perak pada kit badannya memudahkan lagi untuk membezakan edisi GT dengan varian XV yang lain. Model edisi istimewa ini juga diberikan roda aloi 17-inci dengan logo GT terletak di tengah.

Subaru XV GT Edition kini di Malaysia – RM130,788

Menjengah bahagian kabinnya, sedikit keunikan turut ditampilkan termasuklah dengan tempat duduk kulit khas dengan jahitan kontras jingga dan kelabu serta alas lantai GT. Ciri tambahan lain termasuklah Dual Side View Monitor iaitu paparan bagi kamera yang terletak di bawah cermin sisi yang membantu pemandu untuk tujuan parkir.

Ciri lain yang masih sama seperti varian XV lain termasuklah lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED, brek parkir elektronik, pedal penukar gear, PIN Code Access, Arahan Pengesan Suara dan pendingin hawa automatik dwi-zon.

Juga masih menggunakan penjana kuasa yang sama iaitu enjin 2.0 liter Boxer naturally-aspirated empat-silinder susunan mendatar dengan output 156 PS dan tork 196 Nm. Ia turut dipadankan dengan Lineartronic CVT dan Symmetrical All-Wheel Drive.

Subaru XV GT Edition kini di Malaysia – RM130,788

Ia membolehkan XV ini dipacu dari 0-100 km/j dalam 10.4 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicapai ialah 194 km/j. Manakala penggunaan bahan api kombinasi pula dianggarkan 7.3 liter bagi setiap 100 km.

Bagi aspek keselamatan, ia tetap menerima tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Active Torque Vectoring, X-Mode, Bantuan Menurun Bukit, dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang.

Untuk pasaran Malaysia, Subaru XV GT Edition dijual pada harga atas jalan RM130,788 (tanpa insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa had.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required