Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, serta ulang tahun ke-60 tali pinggang keselamatan kenderaan, Volvo Car Malaysia (VCM) telah melancarkan kempen keselamatan jalan raya #SafeDrive bersama Volvo Car Malaysia, dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran pentingnya penggunaan alat berkenaan bagi semua penumpang dalam kenderaan.

“Semua teknologi termaju dalam kenderaan kini tidak akan menjadi berkesan sekiranya tali pinggang keselamatan tidak digunakan. Salah tanggapan bahawa beg udara, struktur kerangka dan sistem keselamatan aktif yang lain semata-mata mampu memberi perlindungan adalah tidak tepat,” jelas Pengarah Urusan VCM, Nalin Jain.

Tali pinggang keselamatan dalam kenderaan telah direka oleh seorang jurutera Volvo, Nils Bohlins pada tahun 1959, dan menjadi inovasi keselamatan paling penting yang pernah dihasilkan untuk kenderaan. Menyedari kepentingannya, Volvo membuka paten alatan berkenaan untuk kegunaan syarikat-syarikat lain. Berdasarkan data dalaman yang dikumpul Volvo sejak 1960an, kira-kira sejuta nyawa telah berjaya diselamatkan oleh alat yang ringkas ini.

“Volvo terus memperkenalkan inovasi keselamatan termaju. Tetapi, teknologi paling asas inilah yang akan memastikan keberkesanan ciri yang lain. Kami bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Kajian Kemalangan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan penggunaan tali keselamatan ini. Dengan kadar penggunaan yang lebih tinggi, jumlah kehilangan nyawa dan kecederaan di jalan raya juga pastinya berkurang,” tambah Jain.

Berdasarkan data MIROS pada 2017, purata 16 kemalangan maut dicatatkan sehari sepanjang bulan Ramadan dan Syawal, satu angka yang membimbangkan. Satu cara paling berkesan untuk menurunkan angka ini ialah dengan memastikan semua penumpang dalam kenderaan menggunakan tali pinggang keselamatan yang tersedia.