Penipuan berkenaan bacaan sebenar odometer buat masa sekarang sudah menjadi lumrah dalam perniagaan kereta terpakai. Dengan penggunaan meter perbatuan digital, proses untuk ‘memusingkan semula’ bacaan odometer tersebut kini menjadi lebih mudah dengan menggunakan gajet khas bagi melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan ini.

Kedai-kedai kereta terpakai yang tidak bertanggungjawab berkenaan melakukan perkara tersebut adalah untuk menyakinkan pembeli bahawa kereta yang hendak dijual itu berada dalam keadaan sangat baik dengan perbatuan yang rendah, seterusnya dapat menjualnya dengan harga tinggi.

Jika anda membeli kereta terpakai tempatan, anda masih ada harapan untuk mengesan penipuan ini dengan pusat servis bertauliah pengeluar-pengeluar dengan memeriksa rekod servis kereta tersebut hanya menerusi semakan nombor casis atau VIN kenderaan berkenaan pada pangkalan data mereka. Tetapi jika anda mahu membeli kenderaan terpakai yang diimport dari Jepun (atau lebih dikenali sebagai ‘kereta recond’), bagaimana untuk mengatasi masalah ini?

Untuk pengetahuan anda, majoriti pengeksport kereta-kereta sebegini mendapat bekalan stok mereka dari syarikat-syarikat lelongan di Jepun. Berita baik untuk anda, kerana dengan inisiatif Scrut.my, anda kini boleh menyemak rekod kenderaan yang anda hendak beli berkenaan ketika ianya melalui proses lelongan.

Dengan hanya memberikan nombor casis atau VIN serta bayaran serendah RM50, Scrut.my akan memberikan salinan senarai semak kereta tersebut ketika dilelong – mempunyai maklumat seperti bacaan odometer sebenar, kelengkapan-kelengkapan yang ada, kerosakan-kerosakan dan juga gambar sebenar ketika kereta berkenaan dilelong.

Setiap kereta yang dilelong juga sebenarnya telah diberikan gred oleh syarikat lelongan seperti S untuk kereta baharu, gred 5 hampir seperti baharu, 2 untuk keadaan yang sangat teruk dan tidak boleh dipandu dan R atau 0 untuk kenderaan yang pernah terlibat dengan kemalangan – kesemua ini ada diperincikan dalam laporan pemeriksaan lelongan berkenaan.

Walau bagaimanapun, setakat ini Scrut.my hanya membekalkan rekod hanya untuk kenderaan import terpakai yang di lelong di Jepun, dan rekod berkenaan bermula pada tahun 2007. Untuk keterangan lebih lanjut, anda boleh semak sendiri di laman Scrut.my.

Rekod-rekod sebegini sebenarnya bukan sahaja penting untuk anda mengetahui keadaan sebenar kereta yang akan anda beli berkenaan, malah ia sangat penting bagi tujuan penyelenggaraan yang betul. Misalnya, jika sesebuah kereta itu timing belt pada enjinnya perlu ditukar pada 85,000 km dan bacaan odometer sebenrnya adalah 78,000 km, malangnya penjual telah memusingkan kembali odometer pada bacaan 25,000 km, enjin anda mungkin rosak teruk berpunca dari timing belt yang putus kerana anda tidak tahu bahawa ia telah sampai masa untuk ditukar.