Setahun selepas diperkenalkan diperingkat global buat pertama kali dan pernah juga ditayangkan di Singapura, SUV premium BMW X5 G05 kini dipertontonkan pula di Malaysia. Dipersembahkan dalam varian BMW X5 xDrive40i M Sport, model ini akan dilancarkan secara rasmi pada Ogos nanti pada harga anggaran RM640,000.

Bagi versi xDrive40i yang dijual untuk pasaran di sini, ia menggunakan enjin BMW TwinPower Turbo enam-silinder 3.0 liter yang menghasilkan kuasa sebanyak 340 hp dan 450 Nm tork antara 1,500 hingga 5,200 rpm. Pecutan 0-100 km/j juga masih agak pantas, iaitu dalam masa 5.5 saat. Transmisi pula menggunakan unit automatik lapan kelajuan Steptronic. Penggunaan bahan api pula ialah pada kadar 9.2 l/100 km dengan pembebasan sisa karbon sebanyak 211g/km.

Dari segi dimensi binaan, model generasi keempat G05 ini besar berbanding model generasi F15 dahulu. Panjangnya bertambah 36 mm menjadi 4,922 mm, lebar bertambah 66 mm menjadi 2,004 mm, tinggi naik 19 mm kepada 1,745 mm dan jarak roda semakin panjang 42 mm menjadi 2,975 mm. Ruang simpanan di belakang mempunyai kapasiti antara 650 liter hingga 1,870 liter.

Pada bahagian depan, memang jelas menampilkan kesinambungan sebuah X5. Tetapi dari belakang, kali ini menerapkan rekaan a la sebuah Audi ataupun SUV Korea. Gril hadapan yang besar pada kenderaan ini bercantum sedikit di bahagian tengah, dan lampu standard yang diberi adalah unit LED Adaptive. Selain itu, lampunya juga hadir dengan ciri BMW Selective Beam.

Model M Sport menerima tambahan kemasan di bahagian lengkuk roda, bampar, pelindung bawah badan di belakang dan side skirt yang berwarna sama dengan badan. Versi yang lebih sporty juga menerima kemasan keliling tingkap dan rel bumbung warna hitam. Bagi pakej M Sport yang ditampilkan ini, ia menerima rim 20-inci. Tayar depan pula menggunakan saiz 275/45, sementara di belakang 305/40.

Sistem AWD xDrive pada X5 ini juga menerima sistem kawalan yang lebih cekap, dengan agihan kuasa yang lebih kepada roda belakang. Differential Lock pada gandar belakang pula menjadikan ia lebih dinamik dengan kelincahan, cengkaman dan stabiliti yang lebih baik apabila memecut keluar daripada selekoh.

X5 G05 ini juga adalah model X BMW pertama yang didatangkan dengan pakej Off-Road. Dalam pakej ini terdapat suspensi udara dua gandar, pelindung bahagian bawah di depan, serta paparan yang lebih spesifik pada panel instrumen bersama kawalannya. Empat mod pemanduan disediakan dan ia akan mengubah ketinggian kenderaan serta tindak balas xDrive, DSC, transmisi dan pendikit.

Bagi sistem casis dan gantungan pula, ia menggunakan jenis double-wishbone untuk bahagian hadapan, sementara di belakang menggunakan suspensi jenis multi-link. Model yang dipertontonkan ini juga dilengkapi dengan penyerap hentak Adaptive M Suspension.

Papan pemuka yang lebih ringkas dan moden pula menampilkan buat kali pertamanya konsep paparan dan kawalan BMW Live Cockpit Professional (secara standard) yang dikuasakan oleh BMW Operating System 7.0. Sistem iDrive yang digunakan disambung kepada panel instrumen digital sepenuhnya dan panel kawalan Control Display bersaiz 12.3 inci boleh digunakan sama ada melalui butang, kawalan suara ataupun pergerakan. Head-up display (HUD) juga lebih besar – 7 x 3.5 inci.

Menambahkan keselesaan dalam kenderaan, X5 G05 pengawal suhu empat zon, perehat tangan dengan ciri pemanas, tempat cawan dengan fungsi pemanas/penyejuk, bumbung kaca Panoramik yang 30% lebih jelas, pakej Ambient Air, sistem bunyi Bowers & Wilkins, sistem hiburan di belakan dengan skrin sesentuh 10.2 inci, iDrive Controller, butang start/stop dan pilihan tombol gear kaca.

Turut boleh didapati servis BMW ConnectedDrive, serta merangkumi BMW Display Key, lampu suasana yang dinaik taraf dengan Welcome Light Carpet dan Dynamic Interior Light yang mempunyai penyalaan seperti denyutan di panel instrumen (apabila menerima panggilan telefon) dan panel pintu (apabila pintu terbuka waktu enjin hidup).

Untuk sistem bantuan pemandu, ia serba lengkap dengan BMW Personal CoPilot, termasuk Driving Assistant Professional bersama Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Steering and Lane Control Assistant, Lane Change Warning dan Lane Departure Warning, Side Collision Protection, Evasion Aid, Crossing Traffic Warning, Priority Warning dan Wrong-Way Warning.

BMW X5 G05 baru ini akan ditawarkan dalam pilihan warna Mineral White, Black Sapphire, Artic Grey dan Phytonic Blue. Begitu juga dengan pilihan untuk kemasan ruang dalaman; material kulit Vernasca boleh didapati dalam warna hitam klasik dengan Aluminium Tetragon bagi pilihan warna Mineral White dan Black Sapphire. Selain itu, BMW X5 generasi keempat ini juga didatangkan dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun, Program Servis Berjadual Percuma serta Jaminan Tayar BMW.