Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah mengumumkan model facelift bagi Porsche Macan bakal diperkenalkan di pasaran tempatan pada 21 Jun ini, dan pelanggan yang berminat sudah boleh menempahnya mulai sekarang.

Buat masa ini, hanya varian asas Macan yang akan ditawarkan, dengan harga RM455,000 (termasuk cukai yang berkaitan, kecuali yuran pendaftaran, cukai jalan dan insurans) dan termasuk dengan waranti empat-tahun dan pakej penyelenggaraan. Dengan 360 Financing Calculator, SDAP menawarkan yuran pemilikan bulanan yang menarik dari RM5,700 untuk Macan baharu ini.

Di bawah bonetnya, terletak enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan 252 PS (248 hp) dan tork 370 Nm. Ia turut dipadankan bersama kotak gear dwi-klac PDK tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda aktif Porsche Traction Management (PTM).

Bagi aspek prestasi, Macan boleh mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam hanya 6.7 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai sehingga 225 km/j. Penggunaan bahan api dianggarkan 8.1 liter per 100 km, sementara pelepasan CO2 pula sekitar 185 gram per km.

Macan 2019 ini menerima unit pencahayaan yang disemak semula, dengan rekaan baharu bagi kluster lampu utama LED hadapan. Sementara di belakang pula menerima panel lampu LED tiga-dimensi seperti mana Cayenne terkini, dan lampu belakangnya juga memiliki rekaan empat-poin yang mirip dengan lampu utama. Lain-lain perubahan luaran termasuk bampar baharu menyerlahkan lagi kelebaran SUV ini.

Untuk kabinnya, bahagian tengah telah direka semula untuk menyesuaikan dengan sistem Porsche Communication Management (PSM), yang merangkumi skrin sesentuh 10.9-inci yang menggantikan unit terdahulu 7.2-inci. Paparan skrin lebar ini memerlukan corong udara diprofilkan semula dan ditempatkan di bawah skrin infotainmen.

Selain itu, Porsche Macan turut menerima paparan skrin sesentuh konsol tengah yang dipertingkatkan dari tujuh ke sebelas inci. Ia sama antara muka seperti Panamera dan Cayenne, dan turut ditempatkan sepasang corong pendingin hawa di tengahnya yang juga direka semula dan diletakkan di bawah skrin sesentuh tengah.

Untuk pasaran Malaysia, Macan didatangkan dengan Pakej Premium, yang dilengkapi ciri standard termasuk tempat duduk hadapan dengan 14-cara larasan bersama fungsi memori, pencahayaan ambien, Power Steering Plus Park Assist, cermin anti silau automatik dan sistem bunyi Bose.

Pelanggan boleh memilih beberapa ciri termasuk roda bersaiz 18- hingga 21-inci, serta Sport Chrono Package yang didatangkan dengan roda stereng GT Sport. Turut ditawarkan termasuklah warna pilihan yang boleh dipilih di pusat pengedar Porsche bertauliah.